19 April 2008

CUEPACS tidak peduli kesan lanjut umur persaraan

Utusan Online

MAJORITI kakitangan kerajaan sekarang boleh tersenyum lebar apabila lima daripada enam 'tuntutan' Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akhirnya dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Kelmarin dengan wajah ceria, Presiden CUEPACS, Omar Osman mengumumkan secara ringkas lima perkara yang diterima itu.

Pemimpin CUEPACS nampaknya tidak peduli suasana sosioekonomi dan politik negara. Barangkali jika tuntutan tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri, Khamis lalu, mungkin cadangan mereka memboikot majlis sambutan Hari Pekerja akan diteruskan.

Walaupun kerajaan tidak bersetuju pemberian honorarium RM2,000 tetapi secara jelas kakitangan awam telah berjaya mendapat tambahan pendapatan daripada kadar pencen, lanjutan umur persaraan, elaun kritikal dan penambahan elaun perumahan. Pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dilihat usaha memotong 'tali ikatan' di badan kakitangan awam daripada peraturan ketat penilaian prestasi.

Hakikat sekarang, kerajaan telah membuat persetujuan dengan CUEPACS yang dikatakan mewakili 1.2 juta kakitangan awam negara ini.

Namun, perkara berkaitan lanjutan umur persaraan perlu dikaji secara teliti terutama mengambil kira pelbagai implikasinya.

Melanjutkan usia persaraan kepada usia 60 tahun adalah tidak wajar untuk semua sektor kerajaan. Dalam tempoh sekarang, cadangan ini perlu dikaji dengan semasak-masak agar keputusan itu tidak memudaratkan kerajaan sendiri.

Walaupun terdapat penjimatan bayaran pencen dan penangguhan imbuhan persaraan, tetapi kerajaan sebenarnya terpaksa membayar lebih berikutan lanjutan umur secara pukul rata itu.

Sebab itu kerajaan tidak patut terikat untuk memberikan lanjutan umur persaraan secara pukul rata kepada semua kakitangan kerana ia tidak membantu meningkatkan kecekapan atau produktiviti sektor awam.

Selain itu, kerajaan perlu memikirkan kakitangan yang sudah berumur 56 tahun mungkin tidak dapat menunjukkan mutu perkhidmatan yang baik kerana ditimpa pelbagai penyakit dan lemah keupayaan fizikal dan minda.

Jika kerajaan bersetuju melanjutkan usia persaraan sama ada 57, 58, 59 atau 60 tahun sekalipun, ketika itu kerajaan tidak dapat memberhentikan kakitangan berkenaan sesuka hati kerana peraturan dan pelbagai alasan dicari untuk tidak membenarkannya.

Pada hemat penulis, apabila tiba masanya bagi seseorang itu bersara maka dia patutlah bersara. Melanjutkan had umur persaraan itu perlu dihalusi dan dikaji sebaik-baik mungkin dan bukan boleh dibuat main-main.

Banyak aspek mengenai keperluan terutama dari segi perjawatan perlu diambil kira jika ia dilaksanakan.

Kerajaan kena melihat keperluan semasa. Modal insan lepasan persekolahan dan institusi pengajian tinggi pun hendak bekerja di sektor awam. Apakah jawatan itu hendak terus dipegang orang lama saja?

Kecuali kalau individu itu memiliki kehebatan dari segi mental dan fizikal serta prestasi kerja atau keupayaan menunaikan tanggungjawab dengan sempurna. Sebab itu, adalah wajar diteruskan amalan melanjutkan tempoh perkhidmatan kepada pegawai yang sudah melepasi had umur persaraan berdasarkan kontrak sahaja.

Pun begitu, 'anugerah' ini dihadkan kepada mereka yang benar-benar memiliki keistimewaan dan kebolehan menyampaikan tanggungjawab dengan baik sahaja.

Perjuangan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam bukan isu baru diperjuangkan oleh CUEPACS. Alasan utama pemimpin CUEPACS adalah bagi menyelesaikan masalah kegagalan pesara merancang simpanan untuk kegunaan hari tua. Tetapi, jika dibandingkan dengan pesara swasta, pesara sektor awam lebih baik kerana mendapat wang pencen bulanan secara tetap.

Sepatutnya jika mereka yang berusia 56 tahun ingin terus bekerja kerana masalah kewangan, carilah pekerjaan lain bagi menampung keperluan keluarga. Bukan menumpang hasil cukai wang rakyat.

Harus diingat bahawa banyak implikasi jika persetujuan melanjut umur persaraan 60 tahun diterima oleh kerajaan. Paling utama, ia menutup peluang orang ramai untuk mendapat ribuan kerja setiap tahun di sektor kerajaan, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran.

Kerajaan harus sedar bahawa isu pengangguran ini bukanlah satu isu yang remeh. Modal insan generasi muda tidak patut dipersia-siakan untuk dilatih menjadi barisan pemimpin pelapis kerajaan.

Kita percaya, bukan menjadi hasrat kerajaan untuk membenarkan pegawai tidak produktif terus berkhidmat sehingga berumur 60 tahun. Tetapi jika cadangan memanjangkan umur bersara dilaksanakan, adalah tidak mustahil jika pegawai yang tidak produktif juga ingin terus berkhidmat di atas alasan perlu menyara hidup yang tinggi.

Kerajaan belum terlewat untuk melihat rasional lanjut tempoh umur persaraan itu.

2 comments:

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan pendapat saudara supaya umur persaraan tidak dilanjutkan daripada 56 tahun. Sebagai seorang pesara, perkembangan kerjaya kakitangan awam selepas SSM telah memberi kesan kepada pegawai yang telah berusia. Kekananan (kenaikan pangkat) seseorang itu bergantung kepada kejayaan dalam peperiksaan PTK dan tidak mengambil kira pengalaman dan tempoh perkhidmatan.
Saya bersetuju dengan permintaan CUEPACS supaya bayaran pencen dikira mengikut tempoh perkhidmatan yang akan memberi kelegaan kepada bakal pesara.
Saya juga mencadangkan supaya seorang yang menerima gaji maksima di P1 diberi kenaikan gaji tahunan di peringkat P2 atau P3. Dengan memberi kenaikan gaji dapat meningkatkan lagi produktiviti dan juga motivasi kepada yang menerima gaji maksima.
Ada juga kementerian/jabatan yang tidak memberi perhatian kepada pegawai yang bersara untuk mengadakan majlis penyampaian sijil penghargaan dalam tempoh 3 bulan seperti mana yang dicadangkan dalam Pekeliling.
CUEPACS yang mewakili 1.2 juta kakitangan awam seharusnya mewujudkan portal rasmi bagi membolehkan berinteraksi dengan anggota perkhidmatan awam.

Anonymous said...

Saya setuju sangat dengan Posting Diatas,

Saya ingin melontarkan beberapa perkara sebagaimana tajuk diatas iaitu;

i) Umur Persaraan Pekerja Sektor Awam;
Umur persaraan kakitangan awam jangan dinaikkan ke 60 tahun dan sepatutnya kekal 56 tahun bukan 58 tahun , pada masa ini golongan sebegini sudah tidak produktif di Malaysia dan akan mengakibatkan seperti berikut;

a) Peluang pekerjaan kepada golongan muda berkurangan kerana dari 56 tahun dinaikkan ke 58 ,dua tahun stuck peluang penggantian orang pencen tetapi pengecualian boleh diberikan kepada bidang kepakaran yang kritikal sahaja iaitu Profesional Dalam Bidang Kesihatan.

b) Produktiviti golongan usia 56-58 tahun begini terutama golongan wanita sudah diperingkat bawah atau minimum . Sebagai contohnya bila ada kerja lebih yang perlu disiapkan, maka golongan yang berumur ini akan mengatakan :" kita bagi kpd org muda lah buat kerja ni, kita tua dah" statement ni selalu kita dengar.

Malah sepatutnya CEUPACS fight perkara ;
ii) Menggalakkan Pekerja Awam Yang Minat Berniaga Pencen Awal.
Dengan galakkan seperti ini, ianya merupakan insentif secara tidak langsung kepada bakal-bakal usahawan, seterusnya manafaat seperti berikut dapat iaitu ;

a) Dalam usaha untuk meningkatkan usahawan bumiputera, saya rasa kerajaan harus menggalakkan kakitangan awam yang cenderung berniaga untuk pencen awal tetapi diberikan pencen penuh. Jadi mereka akan lebih berani lah menghadapi risiko sebab sudah ada jaminan atau sekurang-kurangnya lepas makan minum untuk keluarga jika berlaku kegagalan perniagaan. ( Dalam 1.2 juta kalau ada 4% yang berbisnes sudah ada hampir 48,000 usahawan atau yang boleh bekerja sendiri.

b) Seterusnya mereka dapat menyediakan lebih peluang pekerjaan iaitu lebih sekali ganda dimana tempat penjawat awam itu sendiri (jawatannya sendiri) dan pekerjaan yang boleh diadakan hasil dari perniagaan atau aktiviti yang diceburi oleh mereka.


Ikhlas,

Juan Veron