19 April 2008

Kerajaan timbang umur sara wajib

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan hanya bersetuju melanjutkan tempoh umur persaraan wajib bagi kakitangan awam tetapi masih menimbang sama ada ditetapkan pada umur 58 tahun atau 60 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih belum memutuskannya.

“Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan Cuepacs tetapi masih menimbang sama ada dilanjutkan kepada 58 tahun atau 60 tahun," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau menjelaskan laporan sebuah akhbar semalam kerajaan bersetuju melanjutkan usia persaraan kakitangan awam kepada 60 tahun.

Kelmarin, ahli Majlis Tertinggi Cuepacs yang diketuai Presidennya, Omar Osman mengadakan pertemuan dengan Abdullah di pejabatnya bagi membincangkan enam tuntutan itu.

Pada pertemuan itu, Abdullah menyatakan kerajaan sedia menimbang lima tuntutan Cuepacs, tetapi terpaksa menolak permohonan pembayaran honororium RM2,000 kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam.

Lima tuntutan itu adalah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), lanjutan umur persaraan wajib dari 56 tahun ke 58 tahun atau 60 tahun, kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan dari RM180 sebulan ke RM230, pembayaran elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik Februari lalu dan pembayaran pencen mengikut tempoh perkhidmatan.

Mengenai PTK, Ismail berkata kerajaan bersetuju memansuhkan kaedah peperiksaan dalam PTK dan ia akan digantikan dengan kaedah lain.

No comments: