13 April 2008

20.5% pengetua, guru besar bukan Melayu

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 12 April - Sebanyak 1,987 atau 20.5 peratus daripada keseluruhan sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara mempunyai pengetua atau guru besar bukan Melayu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, bilangan mereka akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke arah menjadikan sekolah di negara ini lebih beraspirasi nasional.

''Perangkaan ini sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kementerian meminggirkan masyarakat bukan Melayu untuk menerajui pentadbiran sekolah," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan warga pendidik dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Kuala Terengganu bersama Timbalan Menteri Pelajaran di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.
Mengenai program memperkasakan sekolah kebangsaan (SK), Razali bangga kerana ia mendapat sambutan meluas masyarakat bukan Melayu apabila sebanyak 413 buah sekolah rendah mempunyai bilangan murid bukan Melayu melebihi 20 peratus.
Katanya, ini adalah pencapaian yang amat memberangsangkan kerana sebelum ini tidak ramai dalam kalangan mereka belajar di SK kerana lebih berminat belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Cina dan Tamil.

Bagi pelaksanaan Bahasa Cina di sebanyak 100 buah SK pula, ia membabitkan sebanyak 2,889 murid dengan 1,555 pelajar adalah Melayu, 561 (Cina), 214 (India) dan 559 adalah kaum lain.
''Bagi Bahasa Tamil (BT) di sebanyak 70 buah SK, ia membabitkan 492 pelajar Melayu, 7 Cina, 208 India dan 12 lagi kaum lain," katanya lagi.

Razali menambah, untuk menarik minat pelajar kaum lain belajar di SK serta memberi peluang kepada mereka mempelajari bahasa lain, kementerian telah memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Cina Komunikasi (BCK) dan Bahasa Tamil Komunikasi (BTK) beberapa tahun lepas.

1 comment:

Anonymous said...

Mungkin benar tetapi hampir 100% pengetua guru besar bukan melayu ini bukannya ditempatkan disekolah kerajaan tetapi di sekolah bantuan sahaja dimana sekolah-sekolah bantuan ini berada dalam keadaan yang amat daif kerana tiada bantuan sepenuhnya seperti sekolah bantuan penuh kerjaan terutama sekali sekolah tamil.