17 May 2009

Memartabatkan golongan guru

Utusan Online

SEMEMANGNYA sudah menjadi tradisi pada 16 Mei setiap tahun, kita akan menyambut Hari Guru. Pelbagai acara diadakan sama ada di peringkat sekolah mahupun negara. Namun perkara yang lebih penting daripada sambutan itu ialah sejauh manakah rakyat negara ini menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh guru-guru?

Kita tidak menafikan dalam zaman yang semakin berubah, peranan guru juga semakin mencabar dan ketika ini pelbagai cabaran dihadapi oleh mereka yang berada dalam dunia perguruan. Bagi mengupas isu ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD dan ZULKIFLEE BAKAR mewawancara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Sudah tentulah dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor dua di negara ini, harapan golongan guru kepada beliau adalah tinggi, justeru dalam pertemuan di Putrajaya, Muhyiddin diminta mengulas pelbagai isu berkaitan dunia perguruan termasuklah soal disiplin pelajar yang turut dikaitkan dengan tanggungjawab guru.

Selain itu, beliau juga menegaskan mengenai hasrat kementerian untuk memastikan mulai tahun depan, prestasi sesebuah sekolah bukan sahaja diukur dari sudut pencapaian cemerlang dalam peperiksaan sahaja, malah ia akan dilakukan secara lebih holistik.

Muhyiddin dalam pertemuan hampir sejam itu turut menegaskan, hasrat Kementerian Pelajaran untuk membentuk satu tahap penghormatan yang tinggi terhadap profesion perguruan.

MINGGUAN: Apakah harapan Tan Sri sempena Hari Guru?

MUHYIDDIN: Kita tahu

pelajaran adalah sesuatu paling diutamakan, disebabkan itu peranan guru semakin bertambah penting dan sebagai pendidik mereka bertanggungjawab untuk membangunkan minda generasi muda.

Kita mahu supaya anak-anak kita menjadi pelajar yang cemerlang menguasai semua ilmu dan bidang. Pada masa ini kita memberi penekanan kepada peningkatan mutu ataupun kualiti, baik dari segi pendidikan mahu pun pembelajaran. Bagi mencapai hasrat berkenaan kita menekankan pentingnya guru terlatih, kita tidak mahu hanya menumpukan kepada soal penyediaan infrastruktur sebaliknya berusaha melahirkan guru terlatih.

Ia membolehkan mereka mempunyai cukup kepakaran dan kemahiran supaya dia dapat menyampaikan ilmu dan pengetahuan dengan baik kepada anak-anak. Saya selalu menekankan soal pentingnya kecemerlangan bukan pada tahap biasa tetapi lebih daripada itu. Jadi kita akan menekankan soal latihan kepada guru dan penyediaan bahan sokongan bagi mempermudahkan sistem pembelajaran dijalankan.

Di samping itu, kita mahu guru sentiasa bermotivasi dan bersemangat untuk bekerja, bagi tujuan tersebut, tumpuan juga akan diberikan kepada soal kebajikan mereka. Pada masa ini sudah ada cerita soal bebanan kerja yang banyak dan murid pula bertambah dan sebagainya, ini menyebabkan peranan guru sudah melepasi batas biasa. Oleh itu kita hendak mencari jalan supaya mereka tidak terbeban dengan tugas yang lebih daripada sepatutnya supaya dia lebih bermotivasi dan melihat kerjayanya sebagai sesuatu yang dihormati dan sebab itu penting untuk kita memelihara kerjaya perguruan ini.

Dulu masyarakat cukup menghormati golongan guru, pada pandangan Tan Sri apakah benar sekarang ini perasaan itu sudah berkurangan?

MUHYIDDIN: Perguruan adalah profesion mulia, memang kalau ikut sejarah daripada dulu pun pandangan masyarakat terhadap guru adalah tinggi. Ia kerana sebagai pendidik, tugas itu bukan boleh dilakukan sesiapa sahaja memandangkan ilmu disampaikan oleh orang yang berilmu, cuma soal yang berbangkit sekarang ini apakah persepsi masyarakat terhadap guru itu sudah berubah? Saya fikir tidak begitu, masih ada penghormatan masyarakat terhadap guru, kalau ada masalah berbangkit mengenai guru, saya fikir tidaklah meluas sehingga guru sekarang tidak dipandang tinggi oleh masyarakat.

Apapun kita hendak bentuk satu tahap penghormatan yang tinggi terhadap profesion perguruan dan untuk itu harus ada interaksi yang lebih rapat antara masyarakat dengan sistem pendidikan yang ada dalam negara kita. Kalau ibu bapa tidak faham dengan sistem yang kita amalkan dan dia tidak tahu bagaimana guru membimbing anak-anak serta mengamalkan sikap ‘serah bulat-bulat’ anak kepada sekolah, maka ini akan menimbulkan masalah.

Atas sebab itu adalah penting wujud hubungan yang lebih akrab dan kefahaman yang mendalam terhadap peranan guru di sekolah supaya masyarakat boleh menilai dan menghargai bukan sekadar hanya bersandarkan kepada keputusan peperiksaan. Kita perlu melihat secara holistik soal pembinaan insan kamil itu dan bukan hanya kepada soal pelajaran tetapi lain-lain lagi, jadi jika masyarakat faham betapa penting pendidik itu adalah orang berilmu maka penghormatan akan menjadi tinggi.

Mungkin harapan masyarakat kepada guru lebih tinggi berbanding dulu?

MUHYIDDIN: Ya, mungkin lebih tinggi kerana ia berkaitan dengan sistem pendidikan kita yang banyak bersandarkan kepada prestasi peperiksaan. Jadi yang itu kita akan ubah supaya sistem pendidikan bukan hanya bersandarkan kepada peperiksaan cemerlang. Kita sudah setuju tahun depan, ukuran prestasi sekolah akan dibuat dengan lebih holistik, dengan cara begitu guru akan lebih terfokus dan masyarakat akan lebih faham dan membantu guru supaya sistem pembelajaran itu akan lebih kondusif.

15 May 2009

Incentive for all govt doctors and dentists

The Star

SEREMBAN: Doctors and dentists pursuing full time post-graduate programmes or specialist courses at local universities will be paid a RM750 critical service incentive from this month.

Previously, only those doing these courses on a part-time basis were paid the incentive while those doing so full time were given half the amount, Public Service Department director-general Tan Sri Ismail Adam said.

“We decided to standardise the incentive to RM750 because doctors and dentists in both open and closed systems carry out the same duties and responsibilities,” he said.

When contacted, a PSD official said those pursuing these courses full time came under the closed system while those who did so part-time were under the open system.

Doctors and dentists pursuing post-graduate or specialists courses at Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malay-sia Sabah and Universiti Sains Islam Malaysia will benefit from this.

Ismail said medical lecturers at public universities and hospitals would also gain from the new directive.

Najib Mahu Putrajaya Hebat Perkhidmatan Dan Kemudahan

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Putrajaya menjadi model yang memaparkan kehebatan pentadbiran awam bukan sahaja daripada segi mutu perkhidmatannya tetapi juga kemudahan yang disediakan.

Perdana Menteri berkata langkah itu bagi menjadikan Putrajaya sebagai lambang kepada negara luar untuk Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat daripada pelbagai aspek.

"Saya mahu Putrajaya menjadi showcase kepada kehebatan sektor awam, dari segi pejabatnya, bilik airnya dan sebagainya. Saya tidak mahu orang memperlekehkan Malaysia sebab kita nak jadi negara maju. Saya nak orang kata Malaysia hebat dan berjaya.

"Sebab itu, kita mesti baiki semua aspek, dari segi prestasi, produktiviti, dan kerja kuat. Jika tak jaga semua ini, bagaimana gambaran kepada Malaysia," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di sini, Ahad.

Majlis yang bertema "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Cuepacs Omar Osman.

Najib berkata masyarakat perlu diterapkan dengan nilai-nilai ketepatan dalam segala apa yang dilakukan.

Perdana Menteri juga berkata bahawa baru-baru ini beliau telah membaca ruangan surat kepada editor dalam akhbar dan satu daripada maklumat balas ialah mengenai pujian kepada Jabatan Imigresen yang telah menambah baik perkhidmatannya kerana dapat menyiapkan pasport antarabangsa dalam tempoh sejam.

"Jadi, tahniah kepada Jabatan Imigresen. Tetapi esoknya, saya terkejut membaca surat yang mengatakan tandas wanita di Jabatan Imigresen paling kotor. Jadi, belumlah lengkap lagi (usaha penambahbaikan)," katanya.

-- BERNAMA

Pegawai Kumpulan Sokongan Gred Lantikan Ditimbang Naik Pangkat

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi berkuatkuasa 1 Julai ini.

Berucap pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan bahawa beberapa skim perkhidmatan akan dinaik taraf juga mulai 1 Julai.

Katanya langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan persekutuan.

Kerajaan juga, katanya, bersetuju untuk menggubal dua skim perkhidmatan yang baru iaitu pegawai penyediaan makanan dan pembantu laut dan menaik taraf lapan skim perkhidmatan termasuk skim perkhidmatan operator mesin prosesan data (OMTD), pembantu tadbir rendah (PTR) dan jaga.

Langkah itu akan melibatkan 20,637 penjawat awam dan turut berkuatkuasa 1 Julai.

Keputusan kerajaan ini akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM170.4 juta, kata Najib.

Dalam ucapannya, Najib mahu kakitangan sektor awam memberi tumpuan kepada usaha untuk mempertingkatkan produktiviti yang akan meningkatkan hasil negara.

Katanya jika hasil negara bertambah, maka pendapatan pekerja turut meningkat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa beliau bukan orang yang tidak prihatin kepada golongan pekerja, dan ini dapat dibuktikan menerusi khidmat beliau ketika menerajui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran sebelum ini.

"Track record saya selama ini di Kementerian Pertahanan, tanyalah perajurit kita. Di Kementerian Pelajaran, tanyalah guru-guru apa yang saya telah buat, tak pernah dalam sejarah ada kenaikan pangkat berasas tempoh para guru.

"Sayalah orang pertama memperkenalkan 'time-based promotion'. Bermakna kita sentiasa (memikirkan) bagaimana untuk mempertingkatkan (pendapatan) tetapi pokoknya, produktiviti dan hasil negara juga mesti ditingkatkan," katanya.

Najib berkata beliau tidak mahu Malaysia kekal dikenali sebagai negara berpendapatan rendah, dan sebab itulah, kerajaan sedang merangka model ekonomi baru yang bertujuan agar negara tidak lagi berada dalam lingkaran kumpulan berpendapatan sederahana.

"Kita bukan negara kos pengeluarannya rendah tetapi belum berjaya melonjakkan sebagai negara berpendapatan tinggi. Oleh itu, kita perlu menggubal model ekonomi baru berasaskan kepada bidang-bidang yang boleh dicari untuk mencapai lonjakan nilai tambah negara," katanya.

Najib berkata untuk mencapai lonjakan berganda, negara mesti mengubah daripada ekonomi berasaskan industri, berteraskan ilmu kepada inovasi.

"Apabila hasil negara bertambah, Presiden Cuepacs (Omar Osman yang turut hadir) minta, saya pejam mata, boleh beri, anytime.

"Sebab apabila kita sudah ada hasil, pendapatan negara bertambah, tentu sekali, kerajaan tak lupa kepada pekerja," katanya.

Najib juga berkata beliau berazam untuk memupuk hubungan baik dan akrab dengan anggota pentadbiran sektor awam sebagaimana ayahanda beliau allahyarham Tun Razak Hussein yang begitu akrab hubungannya dengan kakitangan kerajaan.

"Saya pernah menyatakan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, bahawa hubungan antara kerajaan dan penjawat awam mesti berasaskan kepada satu hubungan yang bertaut pada prinsip yang lebih mendalam daripada hanya menyatakan ini satu perkongsian atau permuafakatan.

"Saya gunakan prinsip al-wa'ad bererti kesetiaan, saya guna al-bai'ah, bererti komitmen antara satu sama lain.

"Jika penjawat awam menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi, komitmen yang padu, Insya-Allah, negara lebih maju pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

K'jaan Akan Tawar Gaji Kompetetif, Kata KSN

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan menawarkan jawatan dan gaji yang kompetetif untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai kerjaya pilihan pertama, kata Ketua Setiausa Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Katanya kerajaan akan mewujudkan satu skim gaji dan jawatan yang menarik kepada pemohon yang berminat mengisi jawatan di perkhidmatan awam berdasarkan pengalaman kerja dan kelayakan akademik.

"Sebagai contoh, sekiranya pemohon mempunyai pengalaman selama 10 tahun di sektor swasta dan berminat untuk berkerja di sektor awam, beliau tidak perlu bermula dari peringkat bawah dan akan ditawarkan gaji yang setimpal dengan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rancangan Dialog di Radio Televisyen Malaysia, Angkasapuri di sini malam ini.

Beliau turut meminta penjawat awam supaya sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam pelaksanaan tugas bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan pada masa yang sama memelihara integriti kerajaan.

"Kerajaan akan memberi kenaikan gaji dan kenaikan pangkat kepada penjawat awam yang menghasilkan prestasi yang membanggakan tak kira sama ada mereka tergolong dalam jawatan rendah atau tinggi," katanya.

Mohd Sidek juga meminta orang ramai memberi cadangan yang boleh menambah baik perkhidmatan sektor awam, yang seringkali dipandang negatif sebelum ini kerana pelbagai masalah.



-- BERNAMA

13 May 2009

Kementerian Pelajaran tak manfaat kebolehan, skil guru sarjana, PhD

Berita Harian

KEBELAKANGAN ini semakin ramai guru mengambil inisiatif sendiri melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) secara separuh masa atau luar kampus.

Kecenderungan golongan guru ini untuk memajukan diri sendiri amat dipuji seiring dengan peranan sekolah sebagai institusi keilmuan. Usaha ini memerlukan pengorbanan bukan sedikit selain menuntut perjuangan dan kesungguhan yang tinggi untuk melaksanakan tugasan di sekolah dan masa bersama keluarga. Tanggungjawab akademik di dewan kuliah memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit yang besar.

Namun, amat mengecewakan usaha dan kesungguhan mereka untuk meningkatkan tahap keilmuan mereka ini dipandang sepi oleh pihak Kementerian Pelajaran. Saya melihat kemahiran guru yang mempunyai pendidikan peringkat sarjana dan PhD tidak dimanfaatkan oleh kementerian.

Merekalah yang mengajar di kelas peralihan dan menengah rendah sama rutin dengan guru lain setiap hari. Ini satu kerugian besar kepada modal insan, selain menyebabkan kesarjanaan dan tahap keilmuan mereka akan semakin pudar dan hilang begitu saja.

Untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku, saya mencadangkan beberapa langkah yang dirasakan wajar diambil kementerian bagi faedah bersama:

  • Guru sarjana atau PhD mesti menghadiri sekurang-kurangnya tiga seminar akademik dalam setahun yang dianjurkan kementerian atau institusi pengajian tinggi awam atau swasta di dalam atau di luar negara. Input yang diperoleh daripada seminar itu mesti dikongsi dengan guru ketika Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan.

    Rasionalnya ialah golongan pendidik ini perlu didedahkan dengan maklumat baru di dalam kajian ilmiah supaya tahap ilmu mereka lebih berkembang dan mereka tidak muflis ilmu.

  • Mereka juga perlu menyediakan hasil kajian tindakan di dalam bilik darjah untuk dibentangkan di seminar kajian tindakan pada peringkat daerah atau negeri yang dianjurkan kementerian. Golongan ini mampu menggarap idea dengan lebih berkesan. Kemahiran penyelidikan mereka juga adalah lebih baik berbanding guru lain. Selain itu, ia juga latihan akademik yang baik untuk meningkatkan tahap kemahiran penyelidikan mereka. Mereka perlu dibekalkan dengan peralatan seperti laptop dan lain-lain kemudahan untuk melakukan penyelidikan itu.

  • Guru ini dihantar mengajar pada waktu cuti sekolah di Kolej Komuniti, Matrikulasi dan Politeknik melalui program pertukaran kemahiran dengan pensyarah supaya kemahiran pengajaran dan pembelajaran mereka meningkat. Ini juga sebagai persediaan awal jika guru ini dinaikkan pangkat untuk mengajar di institusi pendidikan guru atau IPT.

  • Gred gaji atau pangkat mereka perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya satu kenaikan supaya untuk menggalakkan lebih ramai guru melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi. Guru yang melepasi syarat yang dinyatakan itu diberi elaun khas sebagai galakan kepada mereka.

    Bagi saya, langkah ini adalah usaha positif yang perlu diambil kementerian untuk memartabatkan profesion perguruan selaras dengan matlamat PIPP 2006-2010.

    ABU SYIFA'
    Bagan Serai,
    Perak.

  • 05 May 2009

    Calon cemerlang boleh dipertikai

    Berita Harian


    ANUGERAH Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk kakitangan awam pelbagai jabatan bagi 2008 sudah diumumkan, termasuk dari Jabatan Pelajaran. Saya terpanggil untuk menyuarakan masalah pemilihan calon untuk APC membabitkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rompin, Pahang.

    Saya dapati pemilihan calon guru cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak mengecewakan. Timbul rasa tidak puas hati kerana guru yang lama berkhidmat dan berkaliber tidak menerima anugerah, sebaliknya mereka yang baru berkhidmat mendapat pengiktirafan. Sudah tentu ia menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat guru.

    Biasanya, pentadbiran peringkat sekolah akan mencalonkan beberapa guru yang berkemampuan dan berkelayakan. Namun dalam kes di PPD Rompin, didapati calon yang dihantar pihak sekolah tidak tersenarai sebagai penerima, sebaliknya PPD memilih calon pilihan mereka.


    Keadaan ini sekiranya berterusan boleh melunturkan semangat guru yang benar-benar berdedikasi dicalonkan untuk pemilihan berkenaan.

    Bagi mengatasi mengurangkan rungutan, PPD perlu lebih telus bagi pemilihan APC untuk tahun ini. Buatlah semakan semula dan berbincang dengan pihak sekolah sebelum pengumuman dibuat.


    TERKILAN ROMPIN 09,
    Temerloh, Pahang.

    Kesesuaian bidang, PNGK asas pemilihan calon isi jawatan kosong

    Berita Harian


    SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) ingin merujuk kepada tulisan 'Insan Kecewa' dari Puchong, Selangor dalam ruangan ini, pada 29 April yang menyebut 'SPA Patut Utamakan Pekerja Pengalaman Isi Jawatan Kosong' dan juga tulisan 'Sedih' dari Kuala Lumpur dalam ruangan sama bertarikh 30 April 'SPA Tidak Utama Pekerja Kontrak'.

    Bagi setiap urusan pengambilan untuk pengisian jawatan tertentu, SPA menerima permohonan yang begitu banyak berbanding kekosongan yang ada. Oleh itu, SPA boleh membuat pemilihan dengan memanggil calon terbaik untuk ditemuduga.

    Dalam hal ini, kesesuaian bidang dengan jawatan dimohon dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) adalah satu daripada cara digunakan untuk menyenarai pendek calon yang akan panggil temu duga selepas menilai kelayakan akademik mereka.

    Selain kesesuaian bidang dan PNGK yang digunakan dalam asas tapisan, kaedah peperiksaan juga diamalkan dalam tapisan ke atas 15 skim perkhidmatan tertentu. Semua calon yang layak akan dipanggil menduduki peperiksaan sebelum dipertimbang menghadiri temu duga.

    Peperiksaan yang dilaksanakan SPA adalah untuk mengenalpasti profil calon yang terbaik dan bersesuaian dari aspek minat, personaliti, kecerdasan dan kemahiran selaras dengan kehendak skim perkhidmatan.

    Justeru, pengalaman bekerja bukan bonus bagi calon untuk melepasi asas tapisan yang dikenakan untuk dipanggil temu duga. Ia tidak adil untuk calon lain yang tidak mempunyai pengalaman kerja. Namun, pengalaman kerja akan diambil kira apabila calon menghadiri temu duga dan sekiranya berjaya dilantik penyelarasan gaji akan dibuat berdasarkan kepada kesesuaian pekerjaan calon sebelum ini.

    Dakwaan pengadu bahawa SPA hanya melantik calon berumur antara 23 hingga 25 tahun tidak berasas kerana had umur untuk memohon berkhidmat dengan sektor awam hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup permohonan dan tidak melebihi 54 tahun pada tarikh lantikan.

    Bagi calon dilantik secara kontrak melalui prinsip persaingan terbuka dalam data bank SPA, mereka diberi keutamaan untuk lantikan ke jawatan tetap apabila ada kekosongan.

    Bagaimanapun, ada juga calon lantikan kontrak tidak menepati prinsip berkenaan di mana calon ini dikenal pasti pihak kementerian/Jabatan dan dilantik secara kontrak untuk keperluan tertentu.

    Calon ini tidak melalui proses tapisan seperti biasa ketika mereka dilantik secara kontrak. Sekiranya berlaku kekosongan jawatan tetap, calon sedemikian perlu melalui proses sama seperti calon lain iaitu berdaftar dengan SPA dan cuma akan ditawarkan jawatan tetap sekiranya melepasi tapisan untuk dipanggil temu duga seterusnya menunjukkan prestasi memuaskan ketika peringkat temu duga.

    Dengan cara ini, SPA dapat memastikan misi SPA iaitu memilih dan melantik anggota perkhidmatan awam yang berkualiti bagi memenuhi keperluan dan visi negara tercapai seterusnya mendukung prinsip adil dan saksama ketika menjalankan proses itu.

    RADZIAH MOHD SHARIF,
    Pegawai Perhubungan Awam SPA.

    04 May 2009

    Perkhidmatan Awam Disaran Terap Prinsip 6M Bagi Perkasa Perkhidmatan

    KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Prinsip Musyaratah yang bermakna menepati syarat kejayaan yang menjadi sifat Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan amanah perlu dijadikan tanda aras oleh pemimpin perkhidmatan awam bagi memperkasakan perkhidmatan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika mengemukakan cadangan itu berkata, Musyaratah merupakan satu daripada enam prinsip dalam Islam yang boleh diaplikasikan dalam pentadbiran seharian.

    "Dengan wawasan, pemikiran yang jelas dan melangkaui masa, sifat dan keterampilan baginda seharusnya dijadikan asas dalam mentadbir bagi menzahirkan perkhidmatan berkualiti.

    "Prinsip Musyaratah menghendaki pemimpinnya mempunyai sifat-sifat unggul seterusnya berupaya menerajui organisasi ke arah kecemerlangan," katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran Dalam Perkhdimatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, Isnin.

    Jamil Khir berkata, prinsip dan pendekatan Islam lain yang boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran awam ialah Mua'tabah yang bermakna mengikis sifat buruk, Mu'aqabah mengekalkan tindakan benar secara berterusan, Muroqobah mengawal diri secara berterusan, Muhasabah yang bererti menilai diri dan Mujahadah yang bermakna berusaha bersungguh-sungguh.

    Beliau berkata, jika Prinsip 6M tersebut dipenuhi beliau yakin pemimpin-pemimpin jabatan akan berupaya menerajui dan membawa organisasi ke arah kecemerlangan yang berpanjangan.

    Memberikan prinsip Muroqobah atau mengawal diri secara berterusan sebagai contoh beliau berkata, pemimpin jabatan atau kakitangan perkhidmatan akan sentiasa mengawal tingkah laku dan tindakan supaya ketinggian martabat insan yang dianugerahkan Allah sentiasa terpelihara.

    Secara tidak langsung ia akan membantu kita untuk mengawal tindakan dan perlakuan daripada tamak, terlalu kebendaan dan melanggar undang-undang yang mana kecenderungannya lebih ke arah kemusnahan, katanya.

    Melalui prinsip Muhasabah diri, permasalahan seperti situasi di mana majikan atau pekerja menghadapi dilema dalam membuat penilaian, seringkali masalah keadilan, kejujuran dan maklumat yang tidak lengkap digunakan sebagai alasan untuk mempertahankan diri di samping menyalahkan pihak lain.

    Jamil Khir berkata, melalui prinsip Islam masalah itu cukup mudah untuk diselesaikan kerana sekiranya pegawai dan kakitangan bawahan sanggup dengan ikhlas bermuhasabah serta menjauhkan diri daripada sifat-sifat hipokrit, maka organisasi akan dapat mengenal pasti sahsiah, keterampilan dan kewibawaan sebenar pegawai dan secara tidak langsung akan dapat meletakkan seseorang pegawai pada posisi yang sebetulnya.

    Berikutan harapan yang tinggi diletakkan rakyat terhadap perkhidmatan awam Jamil Khir turut menyarankan prinsip Mujahadah iaitu berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua tugas.

    Kerajaan dan orang ramai hanya inginkan penjawat awam dapat mempersiapkan diri dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kehendak pengguna dapat dilaksanakan dengan berkesan, katanya.

    Dalam ucapannya Jamil Khir turut berharap proses penambahbaikan akan terus berlaku dalam perkhidmatan awam di Malaysia kerana sebagai sebuah negara sedang membangun, negara memerlukan perkhidmatan awam yang dinamik yang mampu mengambil, menyerap dan memberi tindak balas kepada perubahan sekeliling supaya tidak ketinggalan dan yang lebih penting terus kekal relevan dalam arus perdana yang semakin kompleks dan mencabar.

    Seminar selama dua hari yang bertujuan mendapatkan perspektif yang lebih jelas dan tepat berhubung konsep kepimpinan Islam dalam konteks perkhidmatan awam itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan anggota pentadbiran kerajaan.



    -- BERNAMA

    Penjawat Awam Terbaik Dihantar Melanjut Pelajaran

    KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk menghantar pegawai-pegawai terbaik di kalangan penjawat awam di negeri ini bagi menyambung pelajaran dan mengikuti kursus di beberapa institusi tersohor di dalam dan luar negara.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata selain memberikan kebaikan kepada pegawai itu sendiri, ilmu yang diperoleh juga mampu meningkatkan prestasi dan mutu kerja dalam perkhidmatan awam di Terengganu.

    "Selain beberapa universiti di dalam negara, kerajaan negeri juga bercadang untuk menghantar pegawai yang terbaik menyambung pelajaran dan berkursus di luar negara seperti di New Zealand, Australia dan Singapura," katanya dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2009 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong.

    Ahmad berkata tempoh masa kursus atau menyambung pelajaran penjawat awam itu bergantung kepada keperluan iaitu antara satu dan dua tahun.

    Beliau berkata hala tuju kerajaan negeri pada masa kini ialah untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan dan sehubungan itu pendekatan ini perlu difahami secara total oleh semua pekerja sektor awam di negeri ini untuk menjayakannya.

    Semangat merakyatkan pentadbiran dan pembangunan ini boleh dicapai sekiranya semua pekerja sektor awam sanggup menjadi ejen perubahan, sanggup menerima idea-idea baru dan sanggup memberi komitmen di luar skop tugas-tugas seharian, katanya.

    Katanya, sebagai jentera kerajaan dan barisan hadapan dalam kerajaan, pekerja sektor awam perlu berkhidmat dengan berkesan dan tidak mengundang kritikan yang negatif serta cemuhan daripada rakyat kerana ia akan dilihat sebagai satu kelemahan.

    "Kelemahan pekerja kerajaan akan diterjemahkan oleh rakyat sebagai kelemahan kerajaan dan kerajaan yang lemah akan dihukum rakyat semasa pilihan raya umum," tambahnya.

    Seramai 18 orang penjawat awam dalam semua sektor dianugerahkan Sijil Pekerja Cemerlang pada majlis tersebut.

    -- BERNAMA