04 May 2009

Penjawat Awam Terbaik Dihantar Melanjut Pelajaran

KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk menghantar pegawai-pegawai terbaik di kalangan penjawat awam di negeri ini bagi menyambung pelajaran dan mengikuti kursus di beberapa institusi tersohor di dalam dan luar negara.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata selain memberikan kebaikan kepada pegawai itu sendiri, ilmu yang diperoleh juga mampu meningkatkan prestasi dan mutu kerja dalam perkhidmatan awam di Terengganu.

"Selain beberapa universiti di dalam negara, kerajaan negeri juga bercadang untuk menghantar pegawai yang terbaik menyambung pelajaran dan berkursus di luar negara seperti di New Zealand, Australia dan Singapura," katanya dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2009 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong.

Ahmad berkata tempoh masa kursus atau menyambung pelajaran penjawat awam itu bergantung kepada keperluan iaitu antara satu dan dua tahun.

Beliau berkata hala tuju kerajaan negeri pada masa kini ialah untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan dan sehubungan itu pendekatan ini perlu difahami secara total oleh semua pekerja sektor awam di negeri ini untuk menjayakannya.

Semangat merakyatkan pentadbiran dan pembangunan ini boleh dicapai sekiranya semua pekerja sektor awam sanggup menjadi ejen perubahan, sanggup menerima idea-idea baru dan sanggup memberi komitmen di luar skop tugas-tugas seharian, katanya.

Katanya, sebagai jentera kerajaan dan barisan hadapan dalam kerajaan, pekerja sektor awam perlu berkhidmat dengan berkesan dan tidak mengundang kritikan yang negatif serta cemuhan daripada rakyat kerana ia akan dilihat sebagai satu kelemahan.

"Kelemahan pekerja kerajaan akan diterjemahkan oleh rakyat sebagai kelemahan kerajaan dan kerajaan yang lemah akan dihukum rakyat semasa pilihan raya umum," tambahnya.

Seramai 18 orang penjawat awam dalam semua sektor dianugerahkan Sijil Pekerja Cemerlang pada majlis tersebut.

-- BERNAMA

No comments: