15 May 2009

Pegawai Kumpulan Sokongan Gred Lantikan Ditimbang Naik Pangkat

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi berkuatkuasa 1 Julai ini.

Berucap pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan bahawa beberapa skim perkhidmatan akan dinaik taraf juga mulai 1 Julai.

Katanya langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan persekutuan.

Kerajaan juga, katanya, bersetuju untuk menggubal dua skim perkhidmatan yang baru iaitu pegawai penyediaan makanan dan pembantu laut dan menaik taraf lapan skim perkhidmatan termasuk skim perkhidmatan operator mesin prosesan data (OMTD), pembantu tadbir rendah (PTR) dan jaga.

Langkah itu akan melibatkan 20,637 penjawat awam dan turut berkuatkuasa 1 Julai.

Keputusan kerajaan ini akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM170.4 juta, kata Najib.

Dalam ucapannya, Najib mahu kakitangan sektor awam memberi tumpuan kepada usaha untuk mempertingkatkan produktiviti yang akan meningkatkan hasil negara.

Katanya jika hasil negara bertambah, maka pendapatan pekerja turut meningkat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa beliau bukan orang yang tidak prihatin kepada golongan pekerja, dan ini dapat dibuktikan menerusi khidmat beliau ketika menerajui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran sebelum ini.

"Track record saya selama ini di Kementerian Pertahanan, tanyalah perajurit kita. Di Kementerian Pelajaran, tanyalah guru-guru apa yang saya telah buat, tak pernah dalam sejarah ada kenaikan pangkat berasas tempoh para guru.

"Sayalah orang pertama memperkenalkan 'time-based promotion'. Bermakna kita sentiasa (memikirkan) bagaimana untuk mempertingkatkan (pendapatan) tetapi pokoknya, produktiviti dan hasil negara juga mesti ditingkatkan," katanya.

Najib berkata beliau tidak mahu Malaysia kekal dikenali sebagai negara berpendapatan rendah, dan sebab itulah, kerajaan sedang merangka model ekonomi baru yang bertujuan agar negara tidak lagi berada dalam lingkaran kumpulan berpendapatan sederahana.

"Kita bukan negara kos pengeluarannya rendah tetapi belum berjaya melonjakkan sebagai negara berpendapatan tinggi. Oleh itu, kita perlu menggubal model ekonomi baru berasaskan kepada bidang-bidang yang boleh dicari untuk mencapai lonjakan nilai tambah negara," katanya.

Najib berkata untuk mencapai lonjakan berganda, negara mesti mengubah daripada ekonomi berasaskan industri, berteraskan ilmu kepada inovasi.

"Apabila hasil negara bertambah, Presiden Cuepacs (Omar Osman yang turut hadir) minta, saya pejam mata, boleh beri, anytime.

"Sebab apabila kita sudah ada hasil, pendapatan negara bertambah, tentu sekali, kerajaan tak lupa kepada pekerja," katanya.

Najib juga berkata beliau berazam untuk memupuk hubungan baik dan akrab dengan anggota pentadbiran sektor awam sebagaimana ayahanda beliau allahyarham Tun Razak Hussein yang begitu akrab hubungannya dengan kakitangan kerajaan.

"Saya pernah menyatakan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, bahawa hubungan antara kerajaan dan penjawat awam mesti berasaskan kepada satu hubungan yang bertaut pada prinsip yang lebih mendalam daripada hanya menyatakan ini satu perkongsian atau permuafakatan.

"Saya gunakan prinsip al-wa'ad bererti kesetiaan, saya guna al-bai'ah, bererti komitmen antara satu sama lain.

"Jika penjawat awam menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi, komitmen yang padu, Insya-Allah, negara lebih maju pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

No comments: