05 May 2009

Kesesuaian bidang, PNGK asas pemilihan calon isi jawatan kosong

Berita Harian


SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) ingin merujuk kepada tulisan 'Insan Kecewa' dari Puchong, Selangor dalam ruangan ini, pada 29 April yang menyebut 'SPA Patut Utamakan Pekerja Pengalaman Isi Jawatan Kosong' dan juga tulisan 'Sedih' dari Kuala Lumpur dalam ruangan sama bertarikh 30 April 'SPA Tidak Utama Pekerja Kontrak'.

Bagi setiap urusan pengambilan untuk pengisian jawatan tertentu, SPA menerima permohonan yang begitu banyak berbanding kekosongan yang ada. Oleh itu, SPA boleh membuat pemilihan dengan memanggil calon terbaik untuk ditemuduga.

Dalam hal ini, kesesuaian bidang dengan jawatan dimohon dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) adalah satu daripada cara digunakan untuk menyenarai pendek calon yang akan panggil temu duga selepas menilai kelayakan akademik mereka.

Selain kesesuaian bidang dan PNGK yang digunakan dalam asas tapisan, kaedah peperiksaan juga diamalkan dalam tapisan ke atas 15 skim perkhidmatan tertentu. Semua calon yang layak akan dipanggil menduduki peperiksaan sebelum dipertimbang menghadiri temu duga.

Peperiksaan yang dilaksanakan SPA adalah untuk mengenalpasti profil calon yang terbaik dan bersesuaian dari aspek minat, personaliti, kecerdasan dan kemahiran selaras dengan kehendak skim perkhidmatan.

Justeru, pengalaman bekerja bukan bonus bagi calon untuk melepasi asas tapisan yang dikenakan untuk dipanggil temu duga. Ia tidak adil untuk calon lain yang tidak mempunyai pengalaman kerja. Namun, pengalaman kerja akan diambil kira apabila calon menghadiri temu duga dan sekiranya berjaya dilantik penyelarasan gaji akan dibuat berdasarkan kepada kesesuaian pekerjaan calon sebelum ini.

Dakwaan pengadu bahawa SPA hanya melantik calon berumur antara 23 hingga 25 tahun tidak berasas kerana had umur untuk memohon berkhidmat dengan sektor awam hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup permohonan dan tidak melebihi 54 tahun pada tarikh lantikan.

Bagi calon dilantik secara kontrak melalui prinsip persaingan terbuka dalam data bank SPA, mereka diberi keutamaan untuk lantikan ke jawatan tetap apabila ada kekosongan.

Bagaimanapun, ada juga calon lantikan kontrak tidak menepati prinsip berkenaan di mana calon ini dikenal pasti pihak kementerian/Jabatan dan dilantik secara kontrak untuk keperluan tertentu.

Calon ini tidak melalui proses tapisan seperti biasa ketika mereka dilantik secara kontrak. Sekiranya berlaku kekosongan jawatan tetap, calon sedemikian perlu melalui proses sama seperti calon lain iaitu berdaftar dengan SPA dan cuma akan ditawarkan jawatan tetap sekiranya melepasi tapisan untuk dipanggil temu duga seterusnya menunjukkan prestasi memuaskan ketika peringkat temu duga.

Dengan cara ini, SPA dapat memastikan misi SPA iaitu memilih dan melantik anggota perkhidmatan awam yang berkualiti bagi memenuhi keperluan dan visi negara tercapai seterusnya mendukung prinsip adil dan saksama ketika menjalankan proses itu.

RADZIAH MOHD SHARIF,
Pegawai Perhubungan Awam SPA.

2 comments:

orang kampung said...

Bagaimana pula dengan jawatan yang membolehkan kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL), contohnya Penolong Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal Perubatan U29/U32 untuk kenikan pangkat ke Pegawai Sains C41. Adakah pengalaman kerja selain daripada PNGK degree yang diperolehi diambil kira?

Anonymous said...

so, mcm mana pula dgn lantikan kontrak of service? sbb ura2 mengatakan kontrak sebegini tidak akan diserap juga... yg dah servis hampir 4 tahun pun tidak diutamakan untuk diserap tetap, kena juga gunakan saluran seperti kontrak for servis... mcm tiada beza pun...