06 January 2010

Atasi masalah lebihan guru

Utusan Online

SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, baru-baru ini, mengenai penawaran guru keluaran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melebihi permintaan.

Ini merupakan satu situasi serius yang patut ditangani dengan segera agar keadaan tidak terus menjadi parah.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) nampaknya menyalahkan pihak universiti kerana tidak merancang pengambilan pelajar. Secara langsung, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut terkena tempias dalam hal ini.

Adalah dipersetujui dahulu bahawa semua guru sekolah menengah akan diisi oleh pelajar dari IPTA di bawah pengawasan dan perancangan KPM dan KPT.

Justeru, sebagai pembayar cukai dan rakyat Malaysia, izinkan saya mengemukakan beberapa cadangan yang mungkin boleh diguna pakai dalam mengatasi masalah lambakan guru di pasaran. Antaranya:

n KPM dan KPT haruslah seiring bekerjasama dalam menentukan jumlah pelajar yang patut diambil setiap tahun. Ini sudah pasti memerlukan perancangan yang tepat berdasarkan fakta yang betul.

n Mengurangkan pengambilan calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), juga Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

n Menempatkan guru sandaran terlatih keluaran IPTA di sekolah rendah yang dikenal pasti kekurangan guru. Saya difahamkan langkah ini telah pun dibuat oleh KPM.

n Memberhentikan pengambilan guru-guru yang telah bersara untuk kembali mengajar, sama ada di sekolah rendah atau menengah.

n Mengurangkan pengambilan guru terlatih kendalian KPM di semua Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Pengambilan seharusnya dibuat sekali sahaja dalam setahun.

n Semua universiti disaran dapat mengurangkan pengambilan baru di masa hadapan.

Saya beranggapan sekiranya cadangan-cadangan di atas dapat dilaksanakan, lebihan guru di pasaran dapat diselesaikan, sekali gus perbelanjaan kementerian dapat dikurangkan secara signifikan.

Pihak universiti yang terlibat dalam pengambilan pelajar pendidikan juga boleh memainkan peranan mereka dengan membuat fokus yang betul sebelum menawarkan tempat kepada pelajar baru.

LEE NYAN

Langkawi, Kedah

No comments: