06 January 2010

Peningkatan kualiti guru keperluan mendesak

Utusan Online

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Peningkatan kualiti warga perguruan melalui program pembangunan profesionalisme berterusan kini merupakan keperluan mendesak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia penting bagi memperbaiki kompetensi, pengetahuan dan keupayaan warga guru agar menjadi lebih dinamik.

Beliau berkata, usaha juga perlu dilakukan bagi menarik penyertaan lebih ramai individu yang berkebolehan menyertai profesion perguruan yang semakin mencabar.

"Apa yang lebih penting pada laluan untuk menuju ke arah kecemerlangan pendidikan ialah kualiti para guru.

"Semua pihak tahu bahawa kualiti sistem pendidikan yang kita ada tidak boleh mengatasi kualiti yang dimiliki para guru kerana merekalah yang akan menentukan prestasi sesebuah sekolah dan pencapaian pelajarnya," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Seminar Kongres Antarabangsa Bagi Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah 2010 (ICSEI 2010) Kali Ke-23, di sini hari ini.

ICSEI 2010 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia (UM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu berlangsung sehingga Jumaat ini dan disertai kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Maah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kualiti guru, kerajaan telah menaik taraf semua maktab perguruan menjadi institut perguruan dan memperkenalkan program ijazah khas untuk para guru yang tidak mempunyai ijazah.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga menggariskan beberapa strategi untuk meningkatkan tahap profesion perguruan antaranya mengetatkan proses pemilihan bakal guru, memperbaiki suasana pengajaran, mengukuhkan keyakinan diri guru dan memberikan khidmat sokongan yang berterusan.

"Dalam hal ini, kita menyediakan yang terbaik kepada para guru dengan peluang saksama untuk meningkatkan kerjaya mereka.

"Pengetua dan guru cemerlang pula diberikan peluang naik pangkat sebagai galakan kepada mereka meningkatkan prestasi dan seterusnya menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya turut melakukan kajian semula kurikulum kebangsaan bagi memastikan ia memenuhi harapan dan tuntutan pendidikan berkualiti.

Katanya, kajian semula itu membabitkan penerapan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup kepada aspek pengajaran dan pembelajaran.

"Ini dilakukan melalui perubahan kandungan kurikulum, organisasi, pedagogi dan pendekatan dalam bilik darjah bagi memastikannya secara efektif memperkukuhkan potensi yang kreativiti dan potensi yang dimiliki pelajar.

"Perubahan ini dijangka sesuai untuk membentuk ekonomi berasakan ilmu pengetahuan yang kejayaannya bergantung kepada potensi kreativiti dan inovasi modal insan," katanya.

3 comments:

Anonymous said...

Walau apapun niat baik pihak kementerian untuk meningkatkan profesion perguruan melalui peluang naik pangkat pengetua cemerlang atau guru cemerlang, namun ia tetap tidak dapat menemui sasarannya kerana sikap setengah ketua jabatan.

Contohnya, guru cemerlang yang dicalonkan bukan orang yang betul-betul berkelayakan. Bagi Pengetua yang bersifat rasis mereka yang dicalonkan berdasarkan klik dan bangsa dan orang yang betul-betul berpengalaman dan berkelayakan disisihkan. Oleh yang demikian ada sekolah mendapat 10 guru cemerlang dan ada sekolah yang besar tidak seorang pun mendapat tawaran. Ini mencerminkan bahawa usaha murni kementerian Pendidikan telah diselewengkan dan menjadi senjata untuk mengugut pegawai/guru yang berkelayakan.

cikgu said...

memang baik pihak kpm hendak menaikkan kualiti guru dengan menawarkan bermacam-macam program, namum adakah menteri pendidikan tahu dan faham isu ketidakseimbangan gaji berdasarkan tahap kelayakan kelulusan dan pengalaman seorang guru.
contohnya, isu guru dg2941 di mana guru yang berijazah dan berpengalaman lebih mendapat gaji yg kurang daripada seorang guru yg bukan siswazah dan berpengalaman kurang lagi.
siapa mahu pergi sambung belajar lagi, macammana nak naikkan kualiti guru?????????

Anonymous said...

JGN HANYA MELIHAT ISU GURU PPPD YANG BARU JD PPPS..ISU GAJI PPPS YG DITIMBULKAN ADALAH BERLANDASKAN JUMLAH TANGGUNGAN PINJAMAN BELAJAR MEREKA YANG ADA DIANTARANYA MENCECAH 50K.ITU BELUM DIKIRA DG41 YANG SAMBUUNG SARJANA YANG LANGSUNG TIADA APA2 KEISTIMEWAAN DALAM KENAIKAN GAJI SEDANGKAN JUMLAH PERBELANJAAN BELAJAR BOLEH MELEBIHI BERBELAS RIBU.TAMBAH DENGAN HUTANG DEGREE AND SARJANA..BILA NAK HABIS TU?SPEAKING OF MENINGKATKAN KUALITI GURU..