Program kerja dari rumah JKR berjalan lancar
Utusan Online
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Seramai 39 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam Program Perintis Bekerja Dari Rumah tidak mempunyai sebarang masalah melaksanakan tugas mereka sejak ia bermula semalam.
Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim berkata, beliau belum menerima aduan mengenai sebarang masalah terutama berkaitan penggunaan sistem tugasan.
"Ia berjalan lancar. Saya yakin ia program terbaik yang boleh terus dilaksanakan pada masa depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Seramai 39 kakitangan yang berkhidmat di kementerian itu terutama mereka yang bertugas sebagai Penolong Juruukur Bahan, Pelukis Pelan dan Juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) terpilih untuk menjalani program perintis itu selama tiga bulan.
Kesemua mereka yang bertugas di Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan dipilih berdasarkan skop tugas secara langsung yang hanya melibatkan penggunaan komputer dan Internet.
Antara faktor utama pemilihan kakitangan terlibat termasuk jantina, jarak ke pejabat dan juga tahap kesihatan diri serta keluarga peserta.
Semua pelukis pelan yang dipilih dibekalkan dengan kemudahan peralatan komputer, komunikasi, talian Internet dan peralatan pejabat yang minimum.
Judin berkata, program tersebut diyakini akan berjalan lancar dengan penggunaan maksimum teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibekalkan kepada setiap peserta terutama Internet.
No comments:
Post a Comment