05 January 2010

Hari Bertemu Pelanggan BPA Di KL Setiap Selasa

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Biro Pengaduan Awam (BPA) mulai Selasa akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggannya pada setiap Selasa untuk kawasan Lembah Klang di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) Kampung Seri Batu, Jalan Ipoh di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata tindakan itu bagi mengatasi kesesakan di pejabat BPA di Putrajaya yang mencatat jumlah pengadu yang semakin meningkat.

Sejak tiga bulan lepas sahaja, jumlah pengadu di BPA Putrajaya mencecah 200 hingga 300 orang sehari hingga menyebabkan keadaan di pejabat biro itu begitu sesak, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bertemu pelanggan itu.

Murugiah berkata keadaan di Dewan Kemas Kampung Seri Batu, yang mempunyai ruang lebih luas dan selesa, amat berbeza dengan pejabat BPA di Putrajaya yang tidak mempunyai dewan untuk menempatkan jumlah pengadu yang semakin meningkat.

Walaupun BPA hanya turun ke Kuala Lumpur setiap Selasa, anggota biro itu akan memastikan mereka akan bertindak dalam tempoh masa 48 jam bergantung kepada jenis kes yang diadukan, katanya.

Murugiah berkata antara kes yang menarik perhatiannya hari ini adalah aduan seorang pemilik rumah yang mendakwa beliau ditipu oleh seorang pekerja di sebuah bank tempatan berkaitan urusan jual beli rumah yang didudukinya.

Kes ini akan dibawa ke Majlis Timbangtara yang diadakan setiap Khamis di pejabat BPA di Putrajaya, dan pihaknya akan memanggil semua pihak yang terlibat termasuk wakil dari Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA

No comments: