04 January 2010

KSN Mahu Jabatan Tidak Lagi Beri Jawapan 'Masih Dikaji' Atau 'Masih Disiasat'

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Isnin menegaskan perlunya perkhidmatan kerajaan bertindak segera terhadap aduan orang ramai selaras dengan citarasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik serta respons terpantas.

"Mereka inginkan tindakan segera dibuat kepada setiap aduan yang dilontarkan. Kita tidak boleh lagi bagi jawapan "masih dikaji" atau "masih disiasat" sebagai alasan kepada aduan mereka.

"Kalau boleh, kita nak, sesuatu aduan itu dibuat tindakan dalam masa satu hari atau satu jam, bukan lagi satu minggu atau satu bulan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat panggilan setempat DBKL di sini.

Pusat itu yang juga dikenali sebagai ""call centre" ditubuhkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di mana semua aduan diterima diselaraskan melalui satu pusat sebelum disalurkan terus ke jabatan berkaitan untuk tindakan segera.

Menggunakan Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam (i-SPAAA), pusat itu yang beroperasi sejak 1 Jan lepas menggantikan Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (PAKL), yang diguna pakai sejak 2003.

Mohd Sidek berkata kewujudan pusat itu dilihat mampu menepati citarasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik serta memberi respons yang pantas bagi setiap aduan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata melalui pusat panggilan itu, aduan orang ramai akan dibuat tindakan susulan kepada jabatan atau cawangan terlibat pada kadar segera serta pihak pengadu akan turut dihubungi bagi dimaklumkan status terkini tindakan yang telah dibuat.

Pusat panggilan itu boleh dihubungi di talian 1-800-88-3255 dan dikendalikan oleh 21 petugas yang terlatih serta beroperasi di Tingkat 1, Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut.

"Buat masa ini, ia beroperasi 24 jam termasuk cuti hujung minggu dan hari kelepasan am. Bagaimanapun, selepas pukul 5 petang hingga 8 pagi pada hari-hari bekerja serta pada cuti hujung minggu dan hari kelepasam am, hanya aduan-aduan berbentuk kecemasan sahaja yang akan diambil tindakan serta merta manakala aduan biasa akan diambil tindakan pada hari-hari bekerja selanjutnya," katanya.



-- BERNAMA

No comments: