11 June 2008

Mohd Sidek Presiden baru UIA ganti Sanusi

Berita Harian

Mohd Sidek

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Presiden baru universiti itu berkuat kuasa 2 Jun lalu.

Pelantikan itu diputus dan direstui Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Ketua Perlembagaan UIA.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIA, Abdul Rahim Ahmad, berkata komuniti universiti itu mengalu-alukan pelantikan Mohd Sidek sebagai Presiden UIA kelima.

Katanya, Presiden UIA bertindak sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor yang bertemu setahun sekali dan Pengerusi Majlis yang bertemu setiap tiga bulan sekali.

"Kami memanjangkan penghargaan tidak terhingga kepada bekas Presiden UIA, Tan Sri Sanusi Junid sepanjang perkhidmatan di universiti ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Sanusi pada sidang media di kediamannya di sini, semalam, menjelaskan beliau menerima surat penamatan perkhidmatannya sebagai Presiden UIA pada 9 Jun yang ditandatangani Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIA mengikut Bahagian IV Perkara 20 (iii) Perlembagaan UIA.

Sanusi yang menjadi Presiden UIA sejak Februari 2000, berkata surat pemecatan beliau bertarikh 2 Jun 2008 dan berkuat kuasa pada hari sama, tanpa dinyatakan sebarang sebab atau kesalahan yang dilakukan hingga kontrak perkhidmatannya perlu ditamatkan dua tahun lebih awal.

Katanya, beliau tidak membuka surat itu pada tarikh berkenaan kerana berada di luar negara dan hanya balik ke pejabatnya di UIA pada 9 Jun.

"Penamatan perkhidmatan saya sebagai Presiden UIA dengan serta-merta ini adalah satu pemecatan disebabkan desakan beberapa pihak berkepentingan," katanya sambil menambah Perlembagaan UIA tidak menyatakan Presiden perlu menjadi ahli Umno.

Katanya, Perlembagaan UIA menetapkan bahawa seorang Presiden boleh menghantar surat kepada Ketua Perlembagaan untuk mengundurkan diri atau beliau boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Ketua Perlembagaan atas nasihat 'host member' (Perdana Menteri).

Sanusi yang juga bekas Menteri Pertanian dan Setiausaha Agung Umno, bagaimanapun berkata, beliau tidak sedih, malah menganggapnya pemecatan terhormat.

Katanya, maruahnya juga tidak tercemar dengan pemecatan itu kerana beliau disuruh berhenti daripada 'beribadah' menerusi khidmatnya di UIA, bukannya berhenti daripada menerajui syarikat korporat yang meraih ganjaran kewangan besar.

Membacakan kenyataan bertulisnya dalam sidang media lebih sejam itu, Sanusi berkata, walaupun sudah dipujuk beberapa pihak, beliau sudah menjelaskan tidak akan meletak jawatan secara sukarela disebabkan tidak lagi menjadi ahli Umno.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bahawa tiada siapa mendesak Presiden UIA meletak jawatan, Sanusi mempersoalkan kewibawaan menteri Kabinet yang disifatkannya tidak lagi mewakili suara kerajaan kerana pandangan mereka tidak diambil kira dalam keputusan kerajaan.

No comments: