Gaji dua kali sebulan galakkan kakitangan awam berhutang
Berita Harian
KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan sistem pembayaran gaji pada pertengahan dan akhir bulan bermula Ogos ini dilihat mempunyai kelebihan dan kontranya. Namun saya berpendapat ia lebih banyak kontra dan menimbulkan kekeliruan di kalangan kakitangan awam yang kesannya akan diterima golongan berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.
Kesan kenaikan harga barang dan minyak di negara kita khususnya, lebih dirasai golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Perlu diingat bahawa golongan ini sedang dalam proses menyesuaikan diri dan mengatur semula corak perbelanjaan mereka gara-gara kenaikan harga minyak.
Justeru, apabila kerajaan mengumumkan satu lagi perubahan dasar yang juga berkaitan dengan pendapatan mereka, ia menyebabkan satu lagi suasana panik dan tidak tenteram di kalangan mereka.
Polisi baru berkaitan pengagihan gaji kakitangan awam itu tidak dinafikan memberi kesan positif kepada rakyat bagi menggerakkan aliran kewangan di kalangan rakyat. Namun, rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana menggunakan separuh hingga tiga suku daripada pendapatan mereka untuk membayar bil, sewa rumah, bayaran kereta, perbelanjaan isi rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya.
Justeru, dasar baru itu akan menyebabkan mereka langsung tidak mempunyai baki untuk hal kecemasan atau untuk perbelanjaan peribadi hatta perbelanjaan untuk ke tempat kerja sekalipun. Hal ini akan menyebabkan rakyat cemas dan lebih sukar mengatur perbelanjaan mereka dan pastinya ia sedikit sebanyak bakal menjejaskan mutu perkhidmatan mereka sebagai kakitangan awam.
Cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melaksanakan sistem pembayaran 30:70 pada pertengahan dan akhir bulan juga tidak praktikal kerana masalah yang sama seperti di atas tetap wujud.
Presidennya, Omar Osman, berkata pembayaran gaji mengikut mekanisme itu boleh mengelakkan kakitangan awam mengalami sindrom kehabisan wang pada setiap awal bulan. Namun jika dilihat kepada situasi yang disebutkan di atas, kakitangan awam sebenarnya bakal sentiasa kehabisan wang kerana perbelanjaan asas saja hampir menyamai keseluruhan gaji mereka.
Saya lebih bersetuju dengan kenyataan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak bersetuju dengan mekanisme itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada cara hidup kakitangan gred rendah.
Malah saya berasa agak terkilan apabila Cuepacs menyatakan langkah kerajaan ini dapat menangani perbelanjaan boros di kalangan rakyat. Kenyataan ini nyata tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kerana golongan berpendapatan rendah dan sederhana pada hakikatnya sedang bergelut dengan masalah untuk berbelanja keperluan asas semata-mata dan langsung tidak 'berkesempatan' untuk berboros.
Kenaikan harga minyak dan barang menyebabkan mereka ini tersepit bagi mengatur perbelanjaan keperluan asas dan mana mungkin mereka ini berkesempatan untuk boros.
Sehubungan itu, kerajaan dirayu agar kembali mengkaji semula mekanisme baru itu yang bakal dilaksanakan pada Ogos ini.
NOORAZMIR ZAKARIA,
Bandar Sri Permaisuri,
Kuala Lumpur.
2 comments:
Saya bersetuju dgn kaedah pembayaran 2x sebulan. Masalah yg wujud sebenarnya...kurangnya pendedahan pengurusan kewangan dalam diri kita sendiri. Jika kita bfikir lebih jauh,byk manfaatnya dengan kaedah pembayaran 2x sbln nie berbading 1x sbln.
Ye ke? sama je sebenarnya. Gaji dibayar 2 kali sebulan tu jumlahnya tetap sama, bukan bertambah. Kalau bayaran pertama dah habis untuk bayar bil2 kereta, rumah dll, macam mana untuk perbelanjaan lain pulak? nak tunggu gaji kedua? sementara nk tunggu dapat gaji kedua tu? Dapat gaji kedua habis jugak.. Sama je..
Post a Comment