11 June 2008

Kakitangan awam diminta tingkat prestasi

Berita Harian

PUTRAJAYA: Anggota perkhidmatan awam, terutama dalam bidang kehakiman dan perundangan, perlu meningkatkan prestasi dan tahap perkhidmatan kepada rakyat yang kini meletakkan harapan begitu tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim, berkata setiap anggota perkhidmatan awam perlu melakukan perubahan jika ingin perkhidmatan mereka terus relevan dan dapat memenangi kembali keyakinan rakyat.

"Harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sejak akhir-akhir ini begitu tinggi, terutama bidang kehakiman dan perundangan. Justeru, setiap anggota perkhidmatan perlu menilai keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

"Jika perkhidmatan awam ingin terus relevan, ia perlu berubah. Ia perlu sentiasa melakukan pembaharuan iaitu lebih baik, strategik dan berdisiplin," katanya berucap pada majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Abdullah Sani Ab Hamid; Ketua Pengarah Biro Bantuan Guaman, Dr Hassan Ab Rahman; dan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Hasnah Mohamed Hashim.

Pada majlis itu, Zaid turut menyampaikan anugerah kepada 123 pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.

Zaid berkata, tanggungjawab melakukan perubahan terletak pada setiap pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dan setiap seorang daripada mereka perlu menunjukkan teladan kerja yang berlandaskan demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Sambil mengakui tugas mengembalikan keyakinan rakyat khususnya terhadap jabatan kehakiman dan perundangan bukan sesuatu yang mudah, beliau berkata, anggota perkhidmatan awam wajar mencontohi kejayaan perkhidmatan awam negara lain dalam bidang berkenaan.

"Tanggungjawab ini terletak di atas bahu semua, tak kira pada peringkat atas atau bawah, kita perlu ada semangat berpasukan...

"Jika perkhidmatan kita dipimpin oleh demokrasi dan kedaulatan undang-undang maka akan berkurangan tuduhan salah laku, sekali gus memulihkan imej kita yang amat diperlukan," katanya.

Zaid berkata, anggota perkhidmatan awam juga perlu fleksibel dalam pemikiran dan tindakan supaya berupaya melakukan tugas di luar daripada kebiasaan dan mencapai kecemerlangan.

No comments: