59,176 siswazah mohon ikuti kursus perguruan
Berita Harian
Semakan temu duga menerusi online mulai 15 Julai depan
KEMENTERIAN Pelajaran menerima 59,176 permohonan bagi mengisi 8,908 tempat ditawarkan bagi mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) sesi kemasukan Januari 2009.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata daripada jumlah itu, 56,622 calon memenuhi syarat kelayakan dan menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST), 24 Mei lalu.
Sambil menjelaskan tiada perubahan syarat kelayakan pengambilan kali ini berbanding sesi lalu, beliau berkata, keputusan calon mendapat panggilan temu duga boleh disemak menerusi online mulai 15 Julai depan.
Katanya, proses temu duga calon terpilih akan dijalankan akhir Julai hingga akhir September depan di pusat tersenarai seluruh negara meliputi 27 institut pendidikan guru (IPG), Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Kuantan, Pahang, serta BPG cawangan Sabah dan Sarawak.
“Temu duga berkenaan memfokus aspek ilmu pengetahuan calon dalam mata pelajaran yang dipohon. Ini penting bagi memastikan calon terbabit menguasai kandungan subjek dengan baik.
“Seterusnya, kepekaan calon terhadap pengetahuan am dan isu semasa, lebih-lebih lagi dalam bidang pendidikan, termasuklah mengenai Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
“Selain itu, perhatian turut diberikan terhadap aspek sahsiah yang menepati ciri pendidik dikehendaki, kemahiran berkomunikasi, keprihatinan serta kematangan calon selaras matlamat kementerian menjana guru berkualiti tinggi.
“Tidak ketinggalan diambil kira aspek penampilan diri dan pertuturan calon. Sasaran temu duga juga ke arah mengenal pasti sama ada calon benar-benar berminat menyertai profesion keguruan supaya mereka boleh memberi sepenuh komitmen terhadap pelaksanaan tugas kelak,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.
Asariah berkata, calon terbabit boleh menyemak keputusan tawaran pengambilan secara online mulai 24 Disember dan mereka yang berjaya dijadualkan mendaftar kemasukan serentak di semua IPG, 12 Januari tahun depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan calon kini memberi keutamaan kepada ketepatan bidang ijazah kelulusan mereka dengan opsyen pengajian KPLI yang dipohon.
Katanya, elemen penting itu dititik berat bagi memastikan calon sudah menguasai kandungan subjek berikutan tempoh pengajian singkat program KPLI selama setahun di IPG akan tertumpu kepada aspek pedagogi.
Mengenai penerimaan jumlah permohonan tinggi untuk tawaran kemasukan KPLI walaupun beban tugas guru kini semakin banyak serta mencabar, Asariah menegaskan, faktor itu bukan penghalang kepada mereka yang benar-benar meminati dan mencintai kerjaya mulia itu.
“Sebenarnya, saya mengagumi guru sanggup berkorban, malah lebih daripada apa yang dituntut, meskipun ia tidak ditonjolkan kepada pengetahuan umum.
“Justeru kepada semua bakal pendidik, saya menyeru mereka memahami tanggungjawab dan tugas guru. Ceburilah profesion mulia ini dengan penuh ikhlas dan minat, bukan atas peluang makan gaji semata-mata.
“Malah, pengisian latihan di IPG amat menekankan pembentukan jati diri guru berkualiti. Ini termasuklah dari segi penempatan ke sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar selepas tamat mengikuti pengajian kelak.
“Mereka mesti bersedia menerima penempatan di mana saja dengan niat menjadi guru unggul yang mengutamakan keperluan pelajar, bukan hanya memikirkan kepentingan diri,” katanya.
No comments:
Post a Comment