14 June 2008

Jurang elaun wilayah diteliti

Berita Harian

Oleh Hassan Omar

Kakitangan awam dari Sabah, Sarawak berkhidmat di Semenanjung terima bayaran rendah

KOTA KINABALU: Jurang perbezaan elaun wilayah dan perumahan antara pegawai dan kakitangan awam agensi kerajaan dari Sabah serta Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung berbanding sebaliknya, akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kakitangan awam dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung menerima elaun agak rendah sedangkan kos sara hidup di Semenanjung lebih tinggi berbanding di kedua-dua negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Bernard Dompok, berkata beliau akan mengemukakan perkara itu kepada JPA bagi membolehkan kajian mengenainya dibuat berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Banyak rungutan diterima, maka perkara ini perlu diteliti kerana kos sara hidup semakin meningkat," katanya selepas melawat Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, semalam.

Beliau dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md Yusof, diberi taklimat oleh Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin.

Dompok bertanggungjawab terhadap aspek pentadbiran Setiausaha Persekutuan Sabah dan Sarawak, selain Mampu dan Biro Pengaduan Awam.

Beliau berkata, kebanyakan pegawai dan kakitangan agensi kerajaan negeri Sabah dan Sarawak memohon bertukar ke agensi kerajaan Persekutuan untuk menimba pengalaman berkhidmat di agensi lebih besar.

"Selain itu, peluang kenaikan pangkat lebih terbuka jika berkhidmat di agensi Persekutuan. Bagaimanapun, tangga gaji pegawai dan kakitangan di negeri dan Persekutuan tetap sama," katanya.

Dompok berkata, pegawai dan kakitangan agensi kerajaan Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan permohonan bertukar menerusi ketua jabatan masing-masing sebelum diproses di Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri.

Mengenai usaha meningkatkan sistem penyampaian, beliau meminta Mampu dan Setiusaha Persekutuan Sabah berbincang lanjut mengenai beberapa perkara yang perlu diberi perhatian bagi menjamin kualiti perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah belum menerima permohonan pertukaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sabah.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan memang ada permohonan dikemukakan dan pejabatnya sedia memprosesnya.

No comments: