05 October 2008

Pegawai diminta bantu polis trafik

Berita Harian

SHAH ALAM: Pegawai kerajaan Kumpulan A yang dalam perjalanan pulang ke ibu kota atau melalui Lembah Klang untuk ke Selatan, diminta membantu polis trafik dengan melaporkan kesalahan jalan raya yang dilakukan pengguna jalan raya sepanjang perjalanan mereka.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Superintendan Che Hussin Omar, berkata mereka yang bercuti ke kampung masing-masing boleh membantu polis trafik mengenal pasti pesalah jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk memotong dari kiri, menggunakan laluan kecemasan dan melanggar lampu isyarat.

Katanya, sebagai pegawai kerajaan Kumpulan A, integriti mereka dipercayai untuk melaporkan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya tanpa prejudis dan berat sebelah.

"Mereka boleh bertindak untuk mencatat nombor pendaftaran kenderaan, jenis kenderaan, tempat kejadian dan masa kejadian sebelum melaporkan kesalahan itu kepada bilik gerakan trafik terdekat atau ke talian 1-800-88-2677.

"Pegawai kerajaan Kumpulan A lebih senang mengesan perbuatan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan kerana mereka tidak mengenakan pakaian seragam berikutan ramai pengguna jalan raya hanya memandu secara berhemah apabila mereka ternampak kelibat anggota polis bertugas," katanya kepada Berita Minggu semalam.

Che Hussin berkata, jalan raya di sekitar Lembah Klang termasuk di Selangor mula sibuk sejak semalam dan dijangka hari ini berikutan penghuni kota mula kembali ke kediaman masing-masing selepas bercuti untuk menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, jumlah kemalangan di Selangor sehingga hari ke 10 Ops Sikap XVII dilaksanakan, mencatatkan penurunan 161 kes berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, sehingga kelmarin, 2,495 kes dicatatkan berbanding 2,656 sepanjang tempoh sama pada perayaan Aidilfitri lalu.

Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut meningkat daripada 20 kes sepanjang tempoh sama tahun lalu ke 28 sepanjang 10 hari Ops Sikap XVII, membabitkan 35 kematian, meningkat 10 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 15,944 saman sudah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang jalan raya seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong dari kiri, memandu di laluan kecemasan dan saman yang dikeluarkan bagi kes kemalangan.

No comments: