09 October 2008

Solah Mat Hassan Dilantik Ketua Pengarah JPJ

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan dilantik Ketua Pengarah jabatan itu berkuatkuasa 6 Okt, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan hari ini.

Solah, 55, menggantikan Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid yang bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tempat Solah diambil alih Ruhaizah Mohamed Rashid, 51, Pengurus Besar Perbadanan Aset Kereta Api di Kementerian Pengangkutan.

Dalam satu kenyataan, Rabu, Sidek juga mengumumkan pelantikan Pengarah Bahagian Pengurusan Belanjawan di Kementerian Kewangan Datuk Latifah Abu Mansor sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) berkuatkuasa 17 Okt ini.

Latifah, 56, menggantikan Datuk Ibrahim Mahaludin Puteh yang akan tamat kontrak perkhidmatan pada 16 Okt.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Sektoral Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Kamaruddin Ismail pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perindustrian) di kementerian sama mulai 19 Okt.

Kamaruddin, 55, menggantikan Datuk Ooi Say Chuan yang bersara wajib pada tarikh sama.

Pengarah Seksyen Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Baharom Jani, 53, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mulai 6 Okt.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Mokhtar Ismail yang dilantik Ketua Setiausaha kementerian berkenaan 23 Sept lepas.

-- BERNAMA

No comments: