Syor pusat latihan kapal selam di Teluk Sepanggar
Berita Harian
Dua Scorpene baru dijangka tiba Julai tahun depan, 2010
CARTAGENA (Sepanyol): Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menubuhkan sebuah pusat latihan kapal selam di pangkalannya di Teluk Sepanggar, Sabah yang akan menempatkan dua kapal selam jenis Scorpene.
"Kita akan menjalankan latihan di negara sendiri, dan kita memperoleh alat simulator bagi melatih warga kapal selam," kata Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar kepada pemberita Malaysia pada raptai pelancaran kapal selam kedua jenis Scorpene di limbungan Navantia di sini, kelmarin.
Kapal selam itu akan dilancarkan secara rasmi dan dinamakan KD Tun Razak sempena nama Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, hari ini. Seri Paduka Baginda akan berada di sini bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Abdul Aziz berkata, buat beberapa tahun pertama, TLDM akan terus mendapat bantuan Perancis dalam usaha menubuhkan pusat latihan itu dan meningkatkan keupayaan bagi melatih warga kapal selam Malaysia di pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar berharga RM690 juta yang dijangka siap pada Februari tahun depan.
Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002. Kapal selam itu dibina secara bersama oleh syarikat pembuat kapal Perancis, DCNS dan rakan kongsinya, Navantia dari Sepanyol.
Kapal selam pertama TLDM yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, dilancarkan di limbungan DCNS di Cherbourg, Perancis, Oktober tahun lalu.
KD Tunku Abdul Rahman akan ditauliahkan pada 25 Januari 2009 dan belayar pulang ke Malaysia pada Mei dan dijangka tiba penghujung Julai tahun depan.
Abdul Aziz berkata KD Tunku Abdul Rahman menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (Lima) pada Disember 2009.
KD Tun Razak pula akan ditauliahkan pada 25 Oktober 2009 dan belayar pulang ke Malaysia pada Januari 2010 dan dijangka tiba dua bulan selepas itu.
Seramai 142 pegawai dan anggota TLDM menjalani latihan di Perancis untuk mengendalikan kedua-dua kapal selam TLDM itu.
Katanya kapal selam itu adalah aset penting kepada TLDM dalam tugas pengawasan, perisikan, serangan dan kerahan komando Paskal (Pasukan Khas Laut).
Beliau berharap kerajaan akan menimbang untuk membeli sebuah kapal sokongan pelbagai tugas untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ekoran rampasan dua kapal dagang milik MISC Berhad oleh lanun di perairan Somalia, baru-baru ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment