Lebih 1,500 Jawatan Baru Di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal
Bernama
KEMAMAN, 26 Sept (Bernama)-- Lebih 1,500 jawatan baru wujud di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang akan mempunyai pejabat cawangan di setiap negeri.
Perbadan tersebut akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mulai 1 Jan depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, proses pengambilan untuk jawatan sedang dilakukan dan kini tidak sampai 1,000 jawatan yang telah diisi.
"Pengambilalihan sedang dilakukan, dan kita juga bercadang untuk menyerapkan mana-mana kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkelayakan dan berkemahiran ke dalam perbadanan ini untuk mengisi kekosongan yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan di di sini, Jumaat.
Katanya, apabila pejabat perbadanan itu diwujudkan di setiap daerah, pengambilan untuk perjawatan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Kerajaan pada Jun lalu, meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk penubuhan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Ka Chuan berkata, dengan pengambilalihan tugas itu, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan PBT untuk pengambilalihan beberapa aset mereka seperti lori mengangkut sampah.
Katanya, walaupun perbadanan tersebut akan mengambil alih semua kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal, namun ia tidak akan menjejas syrikat-syarikat swasta yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja tersebut sebelum ini.
"Kita menghormati dasar penswastaan yang telah dilakukan sebelum ini, jadi langkah tersebut tidak akan menjejaskan mereka kerana kontrak telahpun tandatangani.
"Bagaimanapun jika ada syarikat yang tidak menjalankan tugas dengan baik kita akan kaji semula sama ada ingin meneruskankan perkhidmatan mereka atau sebaliknya," katanya.
Beliau turut memberi jaminanan pengambil alihan kerja-kerja tersebut tidak akan memberi kesan terhadap cukai pintu sedia ada.
No comments:
Post a Comment