09 October 2008

Kementerian diminta selaras gaji Pegawai Pelajaran Daerah di Sabah

Berita Harian

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran diminta menyelaraskan tangga gaji semua pegawai pelajaran daerah di Sabah kepada DG52 berbanding DG48 yang dinikmati sebahagian besar golongan terbabit.

Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ketika ini hanya enam Pegawai Pelajaran Daerah menikmati skim tangga gaji DG52, manakala selebihnya masih berada di tangga gaji DG48.

Katanya, Kementerian Pelajaran wajar menyelaraskan tangga gaji semua Pegawai Pelajaran Daerah di Sabah kepada DG52 kerana mereka mempunyai tugas sama sebagai ketua pentadbir pelajaran peringkat daerah.

Langkah menyelaraskan tangga gaji pegawai terbabit juga, katanya, perlu supaya kedudukan mereka sama dengan Pegawai Pelajaran Daerah di Semenanjung yang menikmati tangga gaji DG52.

“Di Sabah, ada 23 Pegawai Pelajaran Daerah tetapi hanya enam yang diberikan tangga gaji DG52 iaitu Pegawai Pelajaran Daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.

“Saya difahamkan Kementerian Pelajaran tidak menaikkan tangga gaji semua Pegawai Pelajaran Daerah di negeri ini kerana bilangan sekolah yang ditadbir di setiap daerah tidak banyak berbanding Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dan pelancaran Album Sekolah Menengah Sabah di sini, semalam.

No comments: