09 October 2008

NUTP diminta kumpul maklumat kes penganiayaan guru

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 8 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) diminta mengumpulkan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru- guru di seluruh negara bagi membolehkan tindakan diambil.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, maklumat itu penting bagi membolehkan kementerian mencari kaedah terbaik untuk menangani isu berkenaan yang sering dipaparkan melalui media massa.

Menurut beliau, antara kes penganiayaan yang sering dilaporkan termasuk guru dipukul, disaman dan ditukarkan ke tempat lain atas alasan yang tidak munasabah.

Selain itu, katanya, campur tangan pihak lain terutama ibu bapa juga boleh mendatangkan kesan ke atas guru terbabit yang menyebabkan kesungguhan guru untuk mendidik pelajar terbantut.

''Akibat daripada perkara itu didapati ada guru yang prestasi mereka merosot kerana bimbang keselamatan diri dan ini akan memberi kesan negatif kepada pelajar,'' katanya selepas majlis motivasi dengan pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malik di sini hari ini.

Menurutnya, perkara itu akan dikemukakan kepada NUTP pada masa terdekat dalam usaha membantu kementerian mengenal pasti dan menangani masalah tersebut.

Dalam perkembangan lain, Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mahu setiap guru membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas.

Katanya, ia bertujuan memastikan guru lebih bersedia dalam menyampaikan bahan ketika mengajar sekali gus pelajar dapat memahami apa yang disampaikan.

Selain itu, jelas beliau, kreativiti guru semasa mengajar juga amat penting supaya pelajar dapat menguasai subjek yang disampaikan dengan baik.

No comments: