10 October 2008

8,000 Kakitangan Sokongan Selenggara Komputer Sekolah

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Kira-kira 8,000 kakitangan sokongan akan ditempatkan di sekolah-sekolah bagi menyelenggara komputer agar guru yang selama mengendalikan komputer dapat menumpukan lebih perhatian terhadap tugas mengajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata kakitangan berkenaan akan ditempatkan di kira-kira 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang mempunyai makmal komputer.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan pelantikan kakitangan sokongan ini dan mereka akan mula bertugas pada sesi persekolahan awal tahun depan," katanya di sini hari ini.

Beliau juga berkata sebelum ini kementerian mewujudkan makmal komputer di sekolah tanpa mengambil kira bebanan tambahan menyelenggara komputer yang terpaksa juga dilakukan oleh guru.

"Dengan pelantikan kakitangan sokongan berkenaan, ia akan dapat membantu mengurangkan beban dan membolehkan guru memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas mengajar," katanya.

Razali berkata pelantikan kakitangan itu juga akan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan komputer kerana sebelum ini, sekolah-sekolah terpaksa menggunakan perkhidmatan syarikat swasta bagi tujuan tersebut.

"Kakitangan sokongan ini yang terdiri daripada lulusan politeknik dan institusi kemahiran akan membantu menyelenggara komputer tanpa sebarang kos tambahan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji masalah yang terpaksa ditanggung guru bagi melakukan kerja-kerja perkeranian kerana kekurangan kakitangan sokongan di sekolah, sehingga menjejaskan tumpuan mereka terhadap tugas mengajar.

"Kementerian akan meminta JPA meluluskan lebih banyak kakitangan sokongan terutama kerani supaya guru-guru tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja perkeranian," katanya.

-- BERNAMA

No comments: