09 October 2008

Wujudkan Jabatan Penguat Kuasa KPDNHEP

Utusan Online

SAYA amat tertarik membaca artikel di muka surat 8 ruangan Rencana Pengarang, Utusan Malaysia pada 7 Oktober 2008 yang memaparkan kekecewaan penulis mengenai isu kenaikan harga barang, kekurangan bekalan dan beberapa isu besar kepenggunaan yang telah menimbulkan keresahan dan pelbagai tanggapan.

Sebagai pengguna, saya juga turut berasa bimbang kerana pendapatan kita semua semakin mengecut secara mendadak. Selaku Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPPM) pula, saya lagi teramat bimbang kerana mahu atau tidak orang ramai pasti meletakkan kesalahan di bahu anggota penguat kuasa tanpa melihat kekangan yang dihadapi.

Saya juga berharap agar ahli KPPM serta anggota penguat kuasa tidak cepat marah dengan tuduhan yang kurang enak kerana ia hanyalah persepsi. Persepsi ini berlaku mungkin disebabkan orang ramai mengharapkan bahagian penguat kuasa berfungsi dengan berkesan sebagaimana yang berlaku sebelum tahun 2006 tetapi keadaan sekarang sudah berubah.

Anggota penguat kuasa sebenarnya bukan hendak melepaskan diri daripada tanggungjawab ini tetapi dalam apa juga tindakan terpaksa mematuhi peraturan yang ada berpandukan struktur baru kementerian dan bahagian penguat kuasa.

Negara kita bukannya tidak pernah menghadapi masalah sebegini. Isu tekanan harga gula dan harga tepung gandum contohnya telah berlaku beberapa kali sejak puluhan tahun dahulu tetapi telah dapat ditangani dengan jayanya oleh bahagian penguat kuasa sama ada semasa di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian mahupun di bawah kementerian sekarang. Ketika itu kemelut harga dan bekalan tetap dapat diatasi dalam jangka masa yang pendek ataupun sementara.

Sedangkan ketika itu, anggota penguat kuasa di seluruh negara tidak melebihi 500 orang. Kini, dengan bilangan anggota yang bertambah sehingga lebih 2,000 orang, masalah semakin rumit pula.

Saya percaya untuk memastikan bahagian penguat kuasa terus dapat berfungsi dengan berkesan, ia haruslah dirombak semula dan dijadikan sebagai sebuah jabatan. Dengan cara demikian banyak masalah yang dihadapi boleh diambil tindakan dengan segera.

Bukan itu sahaja, masalah dalaman yang mengganggu kelicinan tugas penguatkuasaan akan dapat ditangani dengan lebih cekap.

Kelemahan yang ada mesti diatasi segera jika tidak banyak lagi masalah akan melanda pengguna dan negara. Jangan fikirkan apa yang berlaku hanya melibatkan isu harga semata-mata. Ia akan mengundang lebih banyak masalah lain yang lebih serius seperti sorok barang, diskriminasi dalam memilih dan meletakkan harga ke atas pelanggan, penipuan timbangan atau sukatan, penipuan kualiti barang, penipuan status halal, pengiklanan palsu, lambakan barang tidak selamat dalam negara dan macam-macam lagi.

Agensi penguat kuasa mesti diuruskan oleh golongan yang pakar dalam bidang penguatkuasaan. Ini bukan masanya untuk memikirkan kepentingan mana-mana skim perkhidmatan tertentu, tetapi utamakan kepentingan negara.

Persepsi tentang penguatkuasaan juga haruslah dikaji semula. Bukan semua yang baru itu baik dan bukan semua yang lama itu tidak betul. Dalam hal ini, urusan mengawal penyelewengan dalam perniagaan barang kawalan melalui pelesenan harus diletakkan semula di bawah bidang tugas bahagian penguat kuasa kerana ia lebih bersifat regulatory dan bukannya development.

Begitu juga dengan fungsi pendidikan. Ia seharusnya diletakkan semula di bawah bidang tugas bahagian penguat kuasa sebagaimana dahulu.

Dengan cara itu, penguatkuasaan akan menjadi lebih mantap dan berkesan kerana ketiga-tiga elemen undang-undang, peraturan pelesenan dan pencegahan melalui pendidikan digerakkan secara tersusun.

Pendekatan sebegini telah digunakan sejak dahulu oleh bahagian penguat kuasa dan ternyata ia amat berkesan. Ia juga turut diaplikasikan oleh agensi penguatkuasaan lain seperti Badan Pencegah Rasuah dan PDRM.

Jika ada pandangan yang mengatakan bahawa fungsi penguatkuasaan tidak lagi relevan dalam zaman moden ini hanya berpandukan amalan self regulatory di negara maju, maka saya percaya ideologi itu akan membawa padah kepada rakyat negara ini.

Bagi negara sedang membangun seperti Malaysia, impian untuk sampai ke tahap itu masih jauh lagi. Jangan tergopoh-gapah. Banyak persediaan dan perubahan sama ada dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bahagian penguat kuasa perlu dimantapkan dan diperkasakan melalui proses autonomi.

RUS BAKARURRAINI SHAHFEI
Presiden KPPM

No comments: