04 July 2008

Syor insentif kerja malam RM350

Berita Harian

Oleh Mohamed Farid Noh

Cuepacs minta bayaran kepada 50,000 kakitangan

KUALA LUMPUR: Cuepacs mengesyorkan insentif khas lewat malam antara RM200 sehingga RM350 sebulan diberi kepada kira-kira 50,000 kakitangan berpakaian seragam di seluruh negara, yang bertugas antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Presidennya, Omar Osman, berkata cadangan itu diputuskan pada mesyuarat kongres, Sabtu lalu dan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada mesyuarat, 29 Julai ini.

"Sudah sampai masanya kakitangan berpakaian seragam diberikan elaun khas itu sebagai insentif untuk tempoh tugas yang dijalankan selain dapat membantu meringankan beban kesan daripada penstrukturan subsidi minyak dan kenaikan harga barang sekarang.

"Cuepacs berpendapat jumlah insentif itu adalah munasabah. Kita berharap kerajaan akan meneliti cadangan ini dan dapat mengumumkan keputusan ketika membentangkan bajet untuk tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jika cadangan itu diluluskan kerajaan, antara kakitangan sektor awam yang akan menikmati insentif khas terbabit adalah penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan pembantu perubatan serta jururawat.

Omar berkata, insentif khas itu relevan kerana kakitangan terbabit tetap komited pada tugas mereka walaupun waktu selepas tengah malam seharusnya adalah masa berehat.

"Kakitangan agensi berkaitan terpaksa melakukan tugas yang bukan saja berat, malah berisiko tinggi. Selain itu, kerja mereka tidak diberikan sebarang keistimewaan, termasuk kerja lebih masa, insurans, malah terpaksa berdepan tanggungjawab berbahaya.

"Mereka sepatutnya diberikan elaun khas walaupun tidak sehebat atau setaraf seperti yang diterima kakitangan swasta yang bertugas dalam tempoh itu menerima pelbagai kemudahan," katanya.

Katanya, kakitangan yang menghadapi tekanan dengan keadaan kerja tanpa sebarang insentif sudah pasti hidup tertekan terutama dalam keadaan kenaikan harga barang.

"Walaupun mereka dibayar gaji, usaha perlu dilakukan bagi memastikan nasib kakitangan ini lebih terbela," katanya.

1 comment:

Desperado said...

Bagus la..

www.pilihananda08.blogspot.com

GURU BERKURSUS PADA HARI SABTU...

Kementerian Pelajaran perlu sedia garis panduan standard elak tekanan selepas latihan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) semalam mempertikaikan tindakan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang mewajibkan latihan dalam perkhidmatan kepada guru pada setiap Sabtu.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata Kementerian Pelajaran seharusnya menyediakan garis panduan standard dan lebih khusus supaya tiada tekanan diberikan ke atas guru supaya menghadiri latihan berkenaan.

Katanya, panduan itu perlu supaya semua pihak, terutama pengetua mematuhinya dan tidak tersalah tafsir sehingga guru menderita kerana terpaksa kembali ke sekolah selepas lima hari bekerja.

“NUTP tidak pernah menentang latihan dalam perkhidmatan kerana kami mengakui ia adalah antara langkah terbaik mempertingkatkan kedudukan guru.

“Apa yang dikesalkan adalah bukan saja latihan itu diadakan pada setiap Sabtu, malah guru pula diminta untuk membuat buku log sebagai bukti pembabitan mereka dalam kursus itu. Tindakan ini tidak wajar, menambah tekanan dan seolah-olah guru tidak boleh dipercayai,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat NUTP, di sini, semalam.

Lok berkata, guru bukan mahu bersikap mengada-ngada seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi ramai tidak menyedari profesyen guru yang penuh tekanan menyebabkan jumlah guru yang menghidap penyakit serius akibat stress semakin meningkat.

“Ini terbukti dengan statistik setiap tahun yang mana pada tahun lalu saja 125 guru menghidap pelbagai penyakit serius antaranya penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta kanser dengan nilai tuntutan insurans RM5.2 juta dan ada antaranya disebabkan tekanan.

“Sehingga Jun tahun ini saja, 38 kes guru menghidap penyakit serius akibat tekanan direkodkan membabitkan nilai tuntutan insurans RM2.1 juta. Statistik ini amat membimbangkan. Berbanding pada 2006, 106 kes guru menghidap penyakit dengan tuntutan insurans RM4.7 juta.

“Guru bukannya meminta simpati tetapi mahu semua pihak memahami tanggungjawab guru kini semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata, latihan dalam perkhidmatan harus dipermudahkan bagi menjimatkan kos daripada membiarkan guru menumpukan pada kuantiti iaitu mencapai sasaran 42 jam bagi mendapatkan peluang kenaikan pangkat.

“Ini kerana NUTP menerima banyak aduan ahli yang mengadu kursus atau seminar yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) atau kami sendiri tidak diterima sebagai latihan dalam perkhidmatan.

“Guru juga sepatutnya diberi peluang untuk memfokuskan diri terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar dan bukannya dibebani dengan masalah yang merumitkan tugas mereka,” katanya.