Pemilihan ke jawatan tetap ATM tak telus
Berita Harian
SAYA adalah anggota sepenuh masa Askar Wataniah dan mendapati pelaksanaan penyerapan ke jawatan tetap dalam Kor Rejimen Sempadan yang dilancarkan Menteri Pertahanan baru-baru ini dilakukan secara terburu-buru.
Ia tidak mengambil kira bahawa masih ada segelintir pegawai dan anggota tidak disenaraikan untuk diserapkan ke perjawatan tetap itu.
Saya dan pegawai lain yang pernah berkhidmat di pasukan Infantri Siri 300 sebelum ini tidak diberi keutamaan untuk diserapkan.
Ada kalangan kami pernah berkhidmat lebih 10 tahun di pasukan itu tidak diberi peluang untuk diserapkan ke perjawatan anggota tetap disebabkan kami kini berkhidmat di Rejimen Siri 500 dan pasukan Sasaran Penting.
Kami berkhidmat dengan cemerlang dalam menjalankan tugas sebagai anggota tentera untuk mempertahankan negara.
Jasa kami seolah-olah diabaikan dengan tidak disenaraikan dalam penyerapan ke anggota tetap berkenaan.
Kami rasa seperti dipinggirkan kerana ada pegawai dan anggota yang baru memulakan perkhidmatan sudah diserapkan ke perjawatan tetap, sedangkan kami yang berkhidmat lebih dari 10 tahun terlepas peluang itu.
Kami memohon pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan menimbang semula perkara ini.
Tugas dan tanggungjawab yang kami pikul sama dengan anggota tetap, justeru berilah kami peluang untuk sama-sama menikmati kemudahan seperti yang dirasai anggota tetap dan dan seterusnya layak untuk menikmati skim berpencen kelak.
ANAK WATAN,
Kuala Kangsar,
Perak.
No comments:
Post a Comment