05 July 2008

NUTP pertikai guru kursus Sabtu

Berita Harian

Oleh Mohamed Farid Noh


MAHU KEADILAN: Lok ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat NUTP, di Kuala Lumpur, semalam.

Kementerian Pelajaran perlu sedia garis panduan standard elak tekanan selepas latihan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) semalam mempertikaikan tindakan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang mewajibkan latihan dalam perkhidmatan kepada guru pada setiap Sabtu.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata Kementerian Pelajaran seharusnya menyediakan garis panduan standard dan lebih khusus supaya tiada tekanan diberikan ke atas guru supaya menghadiri latihan berkenaan.

Katanya, panduan itu perlu supaya semua pihak, terutama pengetua mematuhinya dan tidak tersalah tafsir sehingga guru menderita kerana terpaksa kembali ke sekolah selepas lima hari bekerja.

“NUTP tidak pernah menentang latihan dalam perkhidmatan kerana kami mengakui ia adalah antara langkah terbaik mempertingkatkan kedudukan guru.

“Apa yang dikesalkan adalah bukan saja latihan itu diadakan pada setiap Sabtu, malah guru pula diminta untuk membuat buku log sebagai bukti pembabitan mereka dalam kursus itu. Tindakan ini tidak wajar, menambah tekanan dan seolah-olah guru tidak boleh dipercayai,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat NUTP, di sini, semalam.

Lok berkata, guru bukan mahu bersikap mengada-ngada seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi ramai tidak menyedari profesyen guru yang penuh tekanan menyebabkan jumlah guru yang menghidap penyakit serius akibat stress semakin meningkat.

“Ini terbukti dengan statistik setiap tahun yang mana pada tahun lalu saja 125 guru menghidap pelbagai penyakit serius antaranya penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta kanser dengan nilai tuntutan insurans RM5.2 juta dan ada antaranya disebabkan tekanan.

“Sehingga Jun tahun ini saja, 38 kes guru menghidap penyakit serius akibat tekanan direkodkan membabitkan nilai tuntutan insurans RM2.1 juta. Statistik ini amat membimbangkan. Berbanding pada 2006, 106 kes guru menghidap penyakit dengan tuntutan insurans RM4.7 juta.
“Guru bukannya meminta simpati tetapi mahu semua pihak memahami tanggungjawab guru kini semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata, latihan dalam perkhidmatan harus dipermudahkan bagi menjimatkan kos daripada membiarkan guru menumpukan pada kuantiti iaitu mencapai sasaran 42 jam bagi mendapatkan peluang kenaikan pangkat.

“Ini kerana NUTP menerima banyak aduan ahli yang mengadu kursus atau seminar yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) atau kami sendiri tidak diterima sebagai latihan dalam perkhidmatan.

“Guru juga sepatutnya diberi peluang untuk memfokuskan diri terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar dan bukannya dibebani dengan masalah yang merumitkan tugas mereka,” katanya.

No comments: