02 July 2008

Guru lulusan UTM, UPM seolah dipinggir

Berita Harian

KETIKA ini Kementerian Pelajaran memberi pelbagai inisiatif dan peluang kenaikan pangkat kepada guru.

Bermula dengan guru sijil lepasan maktab dinaik taraf kepada diploma, diikuti guru lepasan maktab yang berkhidmat 10 tahun dan lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dinaikkan gred DA32 tanpa perlu memegang apa-apa jawatan.

Gred DGA32 adalah setara dengan guru besar sekolah gred B dan guru penolong kanan sekolah rendah.

Namun, sedarkah Kementerian Pelajaran dan kesatuan guru bahawa guru lepasan Diploma Sains Serta Pendidikan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (kini universiti Putra Malaysia) atau UPM tahun 1970-an dan 1980-an dipinggirkan sejak sekian lama.

Mereka dinafikan hak sebagai guru siswazah apabila penstrukturan dibuat kepada guru siswazah dan guru bukan siswazah, sedangkan pelantikan asal mereka dibuat atas jawatan guru siswazah.

Perkara ini berlaku apabila Sistem Saraan Baru diperkenalkan pada 1992 iaitu guru lepasan Diploma Sains Serta Pendidikan dari UPM dan UTM ditawarkan peluang kenaikan pangkat di sekolah rendah Gred DG5 (pada waktu itu) dan mereka distruktur kepada Kumpulan Guru Bukan Siswazah.

Selepas sekian lama, keadaan ini nampak semakin tidak adil kepada guru lepasan Diploma Sains Serta Pendidikan berbanding guru lepasan maktab dan guru siswazah.

Bayangkan guru Diploma Sains serta Pendidikan yang lebih 20 tahun berkhidmat hanya layak dikategorikan bersama guru lepasan maktab perguruan yang hanya 10 tahun berkhidmat iaitu gred DGA32.

Oleh itu, diingatkan graduan lepasan diploma ini pelajar aliran sains yang agak cemerlang dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa dulu dan ditawarkan tempat di universiti tempatan.

Saya meminta kementerian berkenaan meneliti semula keadaan ini dan mengembalikan hak mereka seperti sepatutnya.

Jangan kerana golongan ini tidak ramai dan tidak pernah bersuara lantas mereka dipinggirkan begitu saja. Bukan pangkat yang diminta tapi hak mereka perlu dikaji semula.

GURU SABAR MENUNGGU,
Kuantan,
Pahang.

No comments: