03 July 2008

Penstrukturan semula BPR tahun depan

Berita Harian

PUTRAJAYA: Penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (MCAC) dijangka dapat diwujudkan tahun depan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Beliau berkata, kertas cadangan mengenai penubuhan MCAC sudah memasuki fasa akhir dan pihaknya juga sedang mengenal pasti mereka yang layak untuk dipilih sebagai Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah suruhanjaya berkenaan.

"Ahli Lembaga Penasihat akan dipilih dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO), orang awam, profesional daripada sektor awam dan swasta dan bekas penjawat awam.

"Antara tugas mereka ialah akan mengkaji semua kes yang disiasat tapi tidak didakwa dan akan membuat penerangan kepada masyarakat mengenainya," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman Kastam Diraja Malaysia (KDRM)-BPR di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid.

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan penubuhan suruhanjaya bebas menggantikan BPR.

Beliau berkata, ia satu daripada empat inisiatif pembaharuan yang akan dijalankan kerajaan bagi menangani keresahan orang ramai berhubung rasuah dalam negara.

Ahmad Said berkata, BPR perlu memastikan semua perkara berkaitan suruhanjaya itu siap sebelum akhir tahun ini.

No comments: