06 July 2008

Lebih Ramai Bukan Melayu Perlu Anggotai JPA3

Bernama

ALOR STAR, 5 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri berharap lebih ramai kaum bukan Melayu memilih untuk berkhidmat sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) bagi bersama-sama menjaga keselamatan negara.

Timbalan Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata hanya terdapat kira-kira 10 peratus sahaja kaum bukan Melayu yang menyertai pasukan keselamatan itu.

Katanya penyertaan kaum Cina dan India amat penting bagi memupuk kerjasama antara masyarakat berbilang kaum di samping mencerminkan perpaduan yang erat di kalangan rakyat negara ini dalam mempertahankan negara.

"Kita tidak mahu apabila berlaku bencana alam seperti kebakaran atau banjir di sesebuah kampung yang ada ramai Cina, kaum Melayu sahaja yang datang bantu, kaum sendiri tidak ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan hari bertemu pelanggan JPA3 peringkat negeri Kedah dan penubuhan unit pertahanan awam Kuala Kedah di sini, Sabtu.

Katanya pada tahun ini, JPA3 sedang meningkatkan kempen untuk menambah penyertaan sekurang-kurangnya seramai 20,000 anggota.

"Setakat ini terdapat 60,458 anggota yang sedia ada di seluruh negara," katanya, sambil menambah bahawa JPA3 juga menggiatkan usaha menarik minat penyertaan anggota bermula di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

--BERNAMA

No comments: