Kementerian kaji elaun khas kakitangan syif malam
Berita Harian
SEGAMAT: Kementerian Sumber Manusia sudah menerima cadangan Cuepacs supaya kakitangan kerajaan berpakaian seragam yang bekerja syif malam antara jam 12.30 pagi hingga 6 pagi diberi bayaran insentif khas.
Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pihaknya akan membuat satu kajian terperinci mengenai cadangan itu bagi memastikan kebajikan kakitangan kerajaan terbabit dibela.
Katanya, sebelum ini Cuepacs pernah membuat cadangan semua kakitangan kerajaan termasuk yang berpakaian seragam diberi elaun khas sebagai insentif bekerja pada syif malam.
Bagaimanapun, katanya, keadaan ekonomi negara yang tidak mengizinkan menyebabkan cadangan itu belum lagi dipertimbangkan untuk kelulusan.
"Pada hujung tahun lalu kerajaan sudah menaikkan gaji kakitangan kerajaan kepada satu tahap tangga gaji yang memuaskan. Oleh itu, kerajaan perlu membuat satu kajian menyeluruh berdasarkan banyak aspek sebelum cadangan itu diluluskan, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di premis perniagaan di Jalan Syed Abdul Kadir di sini, semalam.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan supaya kakitangan berpakaian seragam di seluruh negara yang bekerja lewat malam antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi diberi insentif khas RM200 hingga RM350 sebulan.
Kakitangan itu membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen, Pembantu Perubatan serta Jururawat.
No comments:
Post a Comment