Syarat solat lima waktu dipersoal
Berita Harian
Cuepacs anggap peraturan naik pangkat ketepi hak kaum lain
KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan Pas Kelantan menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam dianggap sebagai menafikan hak kaum lain.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata cadangan itu dilihat berat sebelah kerana menerusinya hanya individu beragama Islam boleh dapat kenaikan pangkat atau mendapat pekerjaan.
"Ini kerana hanya mereka (pekerja beragama Islam) bersembahyang lima waktu dan Jumaat. Macam mana dengan pekerja atau individu menganut agama lain? Adakah mereka ini tidak berpeluang bekerja atau naik pangkat langsung.
"Walaupun cadangan mereka bagus bagi memelihara ketelusan kakitangan awam di negeri itu, tetapi kena fikirkan kesesuaian terhadap bangsa lain," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik, kelmarin untuk menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat dan pengambilan baru kakitangan awam serta pemilihan calon wakil rakyat serta jawatan politik lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata kerajaan Kelantan hanya boleh mengenakan syarat baru itu kepada kakitangan awam yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri saja.
"Kakitangan awam yang diambil Kerajaan Persekutuan dan dihantar bertugas ke negeri itu seperti guru tidak termaktub dengannya. Proses pengambilan dan kenaikan pangkat kakitangan awam sama seperti sebelum ini dengan cadangan kementerian," katanya.
"Adakah akan ada satu pasukan khas untuk memantau pergerakan setiap kakitangan awam untuk melihatnya sama ada mereka bersembahyang atau tidak? Itu yang kami keliru dan hendak tahu sangat apa mekanisme akan mereka gunakan.
Omar turut mempersoalkan kaedah bakal dilaksanakan kerajaan Kelantan bagi memastikan seseorang kakitangan awam itu bersolat atau tidak yang dianggapnya agak mengelirukan serta menyukarkan kerajaan sendiri.
No comments:
Post a Comment