09 July 2008

Elaun BIW, EPW pekerja dari Sabah, Sarawak tidak mencukupi

Berita Harian

SEBAGAI anak watan dan Bumiputera Sarawak, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana keprihatinannya terhadap permasalahan di Sabah dan Sarawak.

Beberapa langkah dan inisiatif menunjukkan Kerajaan Pusat memang cuba untuk tidak terlepas pandang segala permasalahan yang dihadapi rakyat walaupun mungkin mengambil masa, bergantung kepada langkah dan penyelesaian diambil.

Ini terbukti hasil daripada beberapa siri lawatan beliau ke kedua-dua negeri ini dalam tempoh dua bulan lalu.

Perdana Menteri menyatakan rakyat Sabah dan Sarawak kurang berminat menjawat jawatan dalam Kerajaan Pusat atau berkhidmat di Semenanjung.

Dengan kos sara hidup yang tinggi, amat sukar untuk mendorong mereka berpindah ke Semenanjung semata-mata untuk menjawat jawatan dalam Kerajaan Persekutuan.

Malah, tindakan itu dianggap kurang bijak kerana kos sara hidup yang amat tinggi, terutama untuk mereka yang menjawat jawatan sokongan. Kini, kerajaan membayar Elaun Perumahan Wilayah (EPW) dan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada mereka yang berkhidmat di Semenanjung.

Malangnya, dengan peningkatan kadar kos, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, elaun sebegini tidak mencukupi.

Kami menyara keluarga di kampung yang perlu diberi perhatian.

Dengan beban sebegini, jauh sekali untuk kami cuba untuk menstabilkan diri terutama dari segi kewangan.

Saya mencadangkan kerajaan dapat membantu mungkin untuk melakukan semakan kembali ke atas kadar BIW dan EPW yang dibayar kepada kami pada hari ini.

IBANEZ,
Sibu, Sarawak.

No comments: