Kelantan hanya ambil pekerja bersolat
Utusan Online
KOTA BHARU 7 Julai - Kerajaan Pas Kelantan bakal memperkenalkan syarat baru proses pengambilan pekerja dengan mewajibkan setiap calon perlu lengkap menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan memilih kalangan yang tidak meninggalkan solat itu bakal melibatkan semua peringkat bermula daripada peringkat paling bawah hinggalah yang paling atas.Menurut beliau, setiap permohonan akan ditapis dan disaring dengan ketat mengikut prosedur tertentu kelak bagi memastikan hanya calon yang benar-benar takut kepada azab Allah diterima bekerja dengan kerajaan negeri.
''Saya akan cadang dan kemukakan perkara ini kepada pentadbiran negeri nanti bahawa mereka yang tidak sembahyang fardu lima waktu dan Jumaat tidak boleh memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
''Ia libatkan semua peringkat, bermula daripada penghulu, penggawa dan seterusnya kepada wakil rakyat, kakitangan dan pegawai kerajaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada waktu rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yakin cadangan ini tidak akan menimbulkan sebarang kesukaran kerana pelaksanaannya adalah menyamai syarat lulus Bahasa Melayu untuk mendapat pekerjaan atau subjek Sains bagi menjawat jawatan teknikal.
Tegas beliau, syarat wajib solat adalah amat besar dan penting berbanding syarat sedia ada kerana perbuatan meninggalkan solat adalah dosa dan diperhitungkan di akhirat.
''Tinggal sembahyang juga akan menimbulkan masalah lain seperti rasuah kerana manusia kalau dia kepada Allah Yang Maha Besar pun tidak takut, apatah lagi sesama manusia lain.
''Manusia sebagai hamba perlu berabdi sepenuhnya kepada penciptanya, Allah dan sembahyang adalah makanan rohani berbeza dengan nasi atau buah yang merupakan makanan fizikal,'' katanya.
Tambah Nik Abdul Aziz, kerajaan negeri telah mengadakan pelbagai kempen kesedaran kepada orang ramai supaya mengerjakan sembahyang termasuk Kempen Bulan Sembahyang pada bulan Rejab.
''Pada tahun lalu, kita telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi kempen solat dan ia akan diteruskan juga pada tahun ini,'' katanya.
No comments:
Post a Comment