Syor serap pekerja kontrak OSC
Berita Harian
PELANCARAN Pusat Hentian Setempat, One Stop Centre (OSC) di seluruh negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara rasmi, pada 16 Jun 2007, dilihat sebagai kejayaan kerajaan dalam merealisasikan hasrat meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan jabatan kerajaan.
OSC dilihat mampu mengurangkan masalah akibat kerenah birokrasi yang sinonim dikaitkan ketika berurusan dengan agensi kerajaan.
Pada dasarnya, rata-rata mereka yang pernah berurusan dengan OSC berpuas hati dengan khidmat diberikan, jika kita merujuk kepada statistik bancian umum di laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Perangkaan itu, mendapati lebih 70 peratus undian bersetuju penubuhan OSC berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan penyampaian kerajaan, terutama pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu, kita juga seharusnya tidak melupakan kakitangan OSC itu sendiri, iaitu mereka pada peringkat bawahan yang melaksanakan dasar atau kaedah OSC.
Untuk makluman, OSC di PBT seluruh negara ditubuhkan pada April 2006 dengan meletakkan kakitangan berstatus kontrak melalui waran perjawatan dari KPKT. Mereka melaksanakan OSC dari peringkat awal lagi dan boleh dianggap sebagai perintis di sebalik kejayaan pelaksanaan OSC.
Dengan tenaga dan pengalaman serta pemahaman mereka terhadap konsep pelaksanaan OSC sejak mula ditubuhkan sehingga kini, pilihan untuk menamatkan kontrak mereka (sekiranya berlaku) selepas tamat tempoh untuk diganti dengan kakitangan baru adalah dilihat tidak wajar sama sekali tambahan pula mereka ini telah diberikan dengan segala macam pendedahan dan kursus yang berkaitan.
OSC PRIHATIN,
Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment