Sokong Cuepacs teliti lanjut umur bersara
Berita Harian
SAYA ingin merujuk pandangan pembaca, Syed Abdulah Syed Osman di ruangan ini pada 9 Januari bertajuk 'Teliti cadangan lanjut umur persaraan'.
Saya menyokong sepenuhnya faktor yang dinyatakan beliau mengenai, permohonan Cuepacs kepada kerajaan untuk melanjutkan had umur persaraan kakitangan awam sehingga usia 60 tahun.
Hal ini adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai penyelia muda kepada kakitangan bawahan yang berusia lebih daripada saya terutama lingkungan umur 50-an.
Sepanjang menyelia mereka, kebanyakannya tidak taat dan sering membelakangi pegawai muda kerana berasakan mereka lebih banyak pengalaman.
Di samping itu, mereka didapati tidak menggunakan sepenuh masa bekerja untuk menyiapkan kerja yang diberikan sebaliknya memberi pelbagai alasan dan masalah. Harapan mereka supaya kerja itu dapat dibuat dalam masa 'kerja lebih masa'.
Keadaan menjadi lebih kritikal apabila mereka sering menyalahkan keputusan yang dibuat pegawai muda. Berlainan pula dengan staf muda baru bekerja, mereka didapati tekun serta bersemangat melaksanakan tugas dengan lebih baik dan sempurna. Sentiasa hormat serta berbudi bahasa dengan pegawai yang lebih muda daripada mereka.
Di samping itu, kebanyakan pegawai dan kakitangan sokongan yang berusia 50-an menghidap pelbagai penyakit terutama jantung, diabetes serta buah pinggang.
Apabila menghidap penyakit tertentu mereka sering kali mendapat cuti sakit serta mengambil cuti kecemasan. Kerja yang yang diberikan kepada mereka tidak dapat dilaksanakan dan terpaksa dipikul pegawai lain.
Sebenarnya melanjutkan usia persaraan akan membebankan kerajaan terutama dalam aspek pembayaran emolumen. Rata-rata gaji pegawai dan kakitangan sokongan yang berusia 50-an ini berada pada tangga gaji maksimum dalam skim perkhidmatan masing-masing.
Jadi apabila usia persaraan dilanjutkan setiap jabatan dan agensi kerajaan terpaksa menaikkan atau memohon peruntukan tambahan untuk membayar gaji yang tidak mencukupi. Berlainan pula jika diambil pekerja baru yang dibayar gaji permulaan mengikut syarat dan skim perkhidmatan adalah lebih rendah.
Mereka perlu didedahkan aspek perancangan kewangan peribadi ketika bekerja seperti membuat simpanan peribadi, menyertai skim takaful untuk kesihatan, membeli rumah ketika umur muda serta pelbagai bentuk persediaan lain tanpa mengharapkan pencen bulanan yang jelas berkurangan dari gaji yang diterima ketika bekerja.
PEGAWAI MUDA,
Putrajaya.
No comments:
Post a Comment