Kakitangan awam diingat jangan cepat puas hati
Utusan Online
PUTRAJAYA 7 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan kakitangan awam agar jangan cepat berpuas hati dengan tahap sistem penyampaian awam yang dicapai sekarang sehingga merasakan segala usaha sedia ada telah mencukupi.
Perdana Menteri berkata, sikap tersebut tidak akan membantu mereka untuk menambah nilai perkhidmatan sektor awam sebagaimana yang digariskan dalam Misi Nasional.
Selaras dengan itu, beliau mahu kakitangan awam menyematkan azam Tahun Baru 2008 dengan meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan juga cara bekerja berbanding tahun lalu.
“Hasil kesungguhan untuk memperbaiki perkhidmatan awam itu, Alhamdulillah, teguran dan cakap-cakap yang kadangkala sampai ke peringkat menghina sudah tidak kedengaran lagi, sudah banyak berkurangan dan memang sistem penyampaian awam kita sudah bertambah baik.
“(Justeru) kita tidak boleh mengambil sikap cukuplah, dah okey dah kerana sikap ini tidak dapat menambah nilai kepada usaha yang kita kerjakan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.
Dalam hubungan ini, Abdullah mengingatkan kakitangan awam agar tidak hanya mempunyai azam tahun baru yang sekadar bertahan sehingga beberapa bulan.
Sedangkan, katanya, selepas itu segala yang ingin dicapai pada tahun ini terus dilupakan.
“Dengan semangat tahun baru, biasanya kita tahu adanya perasaan dan keinginan banyak orang untuk mencapai kejayaan yang lebih besar untuk melaksanakan rancangan-rancangan baru bagi memperbaiki diri.
“Ada pelbagai ingatan dalam fikiran masing-masing, begitulah mood tahun baru, tidak ada orang yang bercita-cita atau niat nak buat perkara yang tidak baik, semuanya nak buat yang baik dan biasanya belum sampai tiga bulan, semua dah lupa,” katanya.
Bagi kakitangan awam, jelas beliau, mereka perlu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan mereka kepada rakyat kerana perkara tersebut sering menjadi tumpuan media massa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.
“Dari segi produk dan sistemnya, ini mesti menjadi satu kesungguhan dan kita juga perlu menambah nilai kepada diri kita sendiri dari segi ilmu pengetahuan terkini yang perlu dimiliki supaya ia dapat digunakan untuk meningkatkan kejayaan.
“Dengan itu, jadikan azam kita untuk meningkatkan lagi kualiti pencapaian yang diperoleh selama ini, mudah-mudahan ia akan menghasilkan apa yang dikehendaki rakyat dan kita sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment