07 January 2008

Cuepacs masih taruh harapan

Berita Harian

Cadangan lanjut usia persaraan, bayaran sagu hati

KUALA LUMPUR: Cuepacs tetap mengharapkan berita gembira berhubung cadangan menaikkan umur persaraan kakitangan awam daripada 56 kepada 60 tahun pada pertemuan dengan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini walaupun laporan akhbar semalam menyatakan kerajaan belum bercadang berbuat demikian.

Presidennya, Omar Osman berkata pertemuan di pejabat KSN di Putrajaya jam 9.30 pagi ini secara khusus akan membincangkan cadangan berkenaan, selain bayaran sagu hati sebagai ganti bonus tahun lalu kepada kakitangan awam.

Sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Suliman semalam berhubung perkara itu kelmarin mendukacitakan, Omar berkata, ia tidak mematahkan semangat kesatuan untuk meneruskan perbincangan dengan Mohd Sidek.

Beliau tidak menolak kemungkinan keputusan itu dibuat sebelum pertemuan dan perbincangan kerajaan dengan Cuepacs serta tidak mengambil kira pandangan Cuepacs yang mewakili kira-kira 1.2 juta kakitangan awam.

"Jika keputusan sama dicapai dalam pertemuan esok (hari ini), Cuepacs akan meneliti semula tuntutan itu sebelum mengemukakan rayuan tetapi kita mengharapkan tuntutan itu diteliti.

"Cuepacs adalah badan yang bertanggungjawab terhadap ahli dan permintaan atau tuntutan dibuat bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal serta sukar dipenuhi kerajaan.

"Tuntutan itu memberi kebajikan jangka panjang kepada kakitangan kerajaan kerana tahap kesihatan dan pemikiran rakyat Malaysia semakin baik. Tidak adil jika lanjutan umur persaraan hanya membabitkan jawatan kritikal kerana setiap jabatan atau jawatan mempunyai peranan bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan negara," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Rahman kerajaan belum bercadang melanjutkan umur persaraan secara keseluruhan, sebaliknya lanjutan perkhidmatan akan dibuat secara kontrak satu atau dua tahun bagi jawatan kritikal

Abdul Rahman dipetik berkata, kerajaan juga akan mengambil kira petunjuk prestasi utama (KPI) pegawai terbabit sebelum menawarkan lanjutan perkhidmatan secara kontrak.

Omar berkata, kesatuan bukan saja mewakili 120 badan gabungan, sebaliknya badan bukan gabungan juga memberikan sokongan terhadap tuntutan itu.

Katanya, beliau dihubungi pegawai tinggi kerajaan yang mahu Cuepacs meneruskan usaha memastikan tuntutan termasuk kajian semula pencen kepada pesara mengikut tempoh perkhidmatan dan sistem Penilaian Tahap Kecekapan.

"Pertemuan esok selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

No comments: