05 January 2008

Kerajaan belum tentukan sagu hati kakitangan awam

Berita Harian

Dakwaan Cuepacs pembayaran diketahui minggu ini tak berasas: KSN

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk membuat pembayaran sagu hati kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam sebagai ganti ketiadaan bonus tahun lalu.

Ketua Setiasaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman bahawa keputusan pembayaran itu akan diketahui pada minggu ini tidak berasas.

"Tak adalah, tak benar sama sekali, itu pandangan dia (Omar). Apa tujuan dia buat kenyataan macam itu.

"Kami hanya akan berbincang tetapi keputusan itu belum ada. Kalau dah ada keputusan, buat apa nak bincang," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar kelmarin, yang melaporkan permohonan Cuepacs untuk mendapatkan honorarium atau sagu hati bagi menggantikan bonus kepada kakitangan awam dijangka diperoleh minggu ini.

Omar dilaporkan berkata perbincangan dengan Mohd Sidek akan dibuat selepas mendapat panggilan balas untuk menetapkan tarikh yang sesuai.

Ditanya mengenai ketiadaan sagu hati boleh melemahkan semangat kakitangan awam untuk mengundi kerajaan menjelang pilihan raya kelak, Mohd Sidek berkata:

"Jangan tanya macam itu, jadilah rakyat yang bertanggungjawab," katanya yang enggan mengulas lanjut atas alasan beliau baru balik dari menunaikan haji di Makkah dan mahu meneliti perkara itu terlebih dahulu.

Sementara itu, Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat kunjungan hormat ke atas KSN di Putrajaya pada Isnin ini.

Beliau berkata, seramai sembilan ahli majlis tertinggi Cuepacs yang diketuai beliau akan membincangkan beberapa tuntutan termasuk bayaran sagu hati, lanjutan umur persaraan daripada 56 kepada 60 tahun, kajian semula pencen kepada pesara mengikut tempoh perkhidmatan dan sistem penilaian Pencapaian Tahap Kecekapan (PTK)

"Mesyuarat pada Isnin ini akan menentukan semuanya dan saya yakin pertemuan selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini, akan mendapat keputusan yang positif.

"Kami mencadangkan bayaran sagu hati RM2,000, terpulang atas kemampuan kerajaan untuk mempertimbangkannya.

"Saya yakin tuntutan ini akan mendapat perhatian sewajarnya kerana ia berasas dan tidak melampau, tambahan pula berdasarkan kenaikan harga barangan sekarang walaupun kerajaan sudah menaikkan gaji," katanya.

Beliau berkata, sekiranya cadangan bayaran sebanyak RM2,000 itu dipersetujui, kakitangan awam dijangka akan menerima bayaran selewat-lewatnya sebelum Tahun Baru Cina, Februari ini.

Cuepacs menghantar permohonan bayaran sagu hati kepada Abdullah, 10 September lalu.

Permohonan pertama kali itu berdasarkan kadar RM2,000 bagi setiap kakitangan tanpa mengira jawatan bagi menghargai sumbangan kakitangan awam.

No comments: