12 January 2008

Cuepacs mahu boikot roti canai

Berita Harian

Oleh Wan Faizal Ismayatim


HARAP PEMBELAAN: Omar (kanan) berbincang dengan sebahagian kakitangan kontrak dan sambilan Jabatan Pelajaran Kelantan yang tidak dilanjutkan perkhidmatan sambil diperhatikan Shamsudin, di Bachok, semalam.

Kakitangan awam perlu bertindak terhadap peniaga makanan naikkan harga sesuka hati

BACHOK: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta lebih 1.2 juta ahlinya tidak memilih roti canai sebagai sarapan pagi berikutan harganya yang semakin meningkat.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pada masa sama kakitangan awam perlu memboikot peniaga makanan yang menaikkan harga sesuka hati hingga orang ramai berdepan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

"Cuepacs minta semua kakitangan sektor awam memboikot peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menaikkan harga makanan. Jangan makan roti canai, saya sendiri dah terkena... makan sekeping roti canai sampai RM1," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan kontrak dan sambilan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan yang ditamatkan perkhidmatan di sini, semalam.

Omar mengulas kenyataan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PPRMM), baru-baru ini yang mahu menghentikan penjualan roti canai mulai minggu depan berikutan kenaikan mendadak harga tepung gandum.

Beliau menegaskan, sebahagian besar kakitangan awam tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menikmati makanan yang dijual di luar kawasan pejabat pada harga mahal disebabkan kebanyakan premis agensi kerajaan tidak menyediakan kemudahan kafeteria.

Katanya, keadaan itu bukan saja menyebabkan kakitangan awam menanggung kos makanan yang tinggi, tetapi juga terpaksa keluar dari kawasan pejabat untuk bersarapan dan makan tengah hari hingga banyak masa terbuang.

"Sepatutnya semua agensi kerajaan ada kafeteria sendiri. Jangan biarkan kakitangan makan di luar, bila makan di luar, masa pun terbuang dan produktiviti semakin menurun.

"Saya melawat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan beberapa hari lalu, kafeteria pun tak ada. Macam mana nak minta kakitangan bersemangat, nak minum pun tak ada tempat. Bila keluar masuk pergi makan, dah buang masa.

"Kalau semua pejabat macam Putrajaya, tak ada masalah dan kakitangan pun selesa kerana banyak kemudahan. Bila tak ada kemudahan, sebab itulah kakitangan awam lewat datang pejabat, kad perakam waktu dan keluar minum," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, Cuepacs berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberi bayaran sagu hati atau honorarium RM2,000 kepada kakitangan awam secepat mungkin, seboleh-bolehnya sebelum Tahun Baru Cina.

Beliau yakin kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung tuntutan Cuepacs itu berdasarkan maklum balas positif hasil pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Isnin lalu.

No comments: