07 January 2008

3,000 anggota baru JPJ

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menerima kira-kira 3,000 anggota baru secara berperingkat dalam tempoh dua tahun dengan 1,500 daripadanya diserapkan ke Bahagian Penguat Kuasa pada tahun ini.

Pengarah Penguat Kuasanya, Salim Parlan, berkata penambahan yang dijangka diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lama lagi akan membolehkan jabatan menjalankan tugas lebih berkesan, terutama penguatkuasaan.

“Ketika ini hanya 650 penguat kuasa di seluruh negara daripada jumlah keseluruhan 2,600 pegawai dan anggota JPJ, termasuk yang bertugas di kaunter pelanggan di setiap negeri.

“Jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan jumlah kenderaan yang semakin bertambah setiap hari.

“Kita yakin penambahan itu dapat mengatasi banyak tugas yang terhalang sebelum ini, sekali gus membolehkan JPJ menjalankan lebih banyak operasi,” katanya.

Beliau mengakui JPJ mengalami kekurangan anggota dan ia membataskan kemampuan jabatan melaksanakan tugas.

Katanya, JPJ turut memperluaskan operasi penguatkuasaan 24 jam ke seluruh negara bagi meningkatkan keberkesanan jabatan itu seiring penambahan anggotanya.

“Penguatkuasaan 24 jam akan diperluaskan ke seluruh negara dan tidak lagi hanya terbatas di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang saja kerana kita akan mempunyai kemampuan mencukupi.

“Pendekatan itu turut memastikan Stesen Penguat Kuasa JPJ di laluan tertentu yang sering digunakan lori lebih muatan, beroperasi bergilir-gilir setiap 12 jam,” katanya.

Antara laluan terbabit ialah jalan menghubungkan Kuala Kangsar, Perak melalui Grik dan Jeli di Kelantan sehingga ke Raub, Pahang membabitkan Stesen Penguat Kuasa Grik, Bukit Bunga, Benta dan Mentera.

“Selepas ini, lori yang sering membawa lebih muatan pada waktu malam tidak lagi dapat melakukannya sesuka hati kerana kita akan sentiasa membuat pemantauan,” katanya sambil menambah JPJ turut mendapat 45 unit alat penimbang mudah alih bagi memudahkan jabatan menjalankan tugas.

No comments: