01 October 2007

Kontroversi Sharifah Hapsah, Saran Kaur dan gaji Prof RM8 juta!

HarakahDaily

BANGI, 1 Okt (Hrkh) - Majoriti kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), termasuk para profesor kanan, semakin tidak berpuas hati dan resah-gelisah dengan gaya pentadbiran Naib Canselor, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sekurang-kurangnya dua isu besar menjadi bualan umum warga kampus di sini. Pertama, pelantikan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Saran Kaur a/p Delio Singh, dari Pusat Bahasa dan Linguistik, mulai 1 September lalu, untuk tempoh tiga tahun.

Pelantikan itu dikatakan tidak dibuat secara telus dan terbuka mengikut tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Prosedur sedia ada ialah pencalonan dibuka untuk warga UKM membuat cadangan dalam tempoh tertentu dan diikuti dengan sesi temuduga calon setelah mereka mengisi borang kompetensi dan ujian MEQI bagi menilai emosi dan intelek calon.

Bagaimanapun, Naib Canselor mengetepikan semua prosedur berkenaan.

Lagi pula, jawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam ialah TNC Hal-Ehwal Pembangunan, bagi merancang dan memantau projek pembangunan yang diberikan peruntukan hampir RM1,000 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan. Bagaimanapun Sharifah Hapsah telah mengubah nama dan bidang tugas jawatan tersebut.

Menurut sumber, bidang tugas TNC baru ini bertindan-tindih dengan dua TNC sedia ada, iaitu TNC Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, serta TNC Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi. Khabarnya Saran Kaur masih belum pasti apa yang dapat dilakukan kerana pembahagian tugas di antara TNC sedia ada masih jauh daripada jalan penyelesaian.

"Beliau hanya memanaskan kerusi sahaja," kata seorang kakitangan UKM yang tidak mahu dikenali.

"Malah, dari segi kelayakan," tambahnya, "beliau memang tidak layak langsung untuk memegang jawatan TNC. Kepakaran beliau dalam linguistik tidak akan berguna dalam membincangkan hal-hal seperti isu pemindahan teknologi, paten, hak-cipta intelek dan sebagainya. Beliau juga tidak pernah menjawat jawatan pentadbiran yang memberi cukup pengalaman untuk melaksanakan tugas TNC."

Difahamkan Sharifah Hapsah melantik Saran Kaur, walaupun tanpa mengikut prosedur lazim, kerana mereka merupakan kawan rapat sejak lama, selain faktor gender. Banyak jawatan kanan di UKM kini, termasuk dekan dan pengarah institut, mudah diperolehi oleh pensyarah wanita dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

Misalnya, jawatan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), yang dikosongkan oleh Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin diisi oleh seorang pensyarah kejuruteraan, Prof Dr Che Husna Azhari.

"Kita tak kisah kalau mereka yang dilantik itu berkelayakan, sama ada lelaki atau wanita," kata seorang lagi pensyarah. "Tapi kalau yang dipilih itu tidak menepati kriteria akademik, hanya kerana mereka kawan rapat Naib Canselor, maka ia sesuatu yang menyedihkan."

Dikatakan pejabat bagi TNC baru juga belum ada dan berlaku suasana kelam-kabut apabila ia disedang dibuat proses ubah-suai sehingga beberapa bahagian terpaksa dipindahkan ke Kolej Kediaman Keris Mas.

Menurut pemerhati, kalaupun KPT mahu melantik kalangan bukan Bumiputera sebagai TNC, masih ramai lagi calon yang lebih layak dan berkebolehan serta berpengalaman berbanding Saran Kaur.

"Apakah Naib Canselor UKM membuat keputusan hanya berdasarkan perasaan, tanpa melihat rasional dan asas kukuh?" tanya seorang bekas pensyarah kanan yang ditemui. "Jika ini pegangan dan amalan beliau maka akan hancurlah UKM dan sia-sialah perjuangan dan pengorbanan orang Melayu menubuhkan UKM dahulu."

"Waktu mula datang ke UKM, beliau membawa janji-jani ketelusan dan keterbukaan," tambahnya. "Sekarang terbukti semua jaminan itu palsu, malah beliau terbukti seorang yang tidak mempunyai sebarang misi atau visi. Beliau hanya mahu menjaga hati Perdana Menteri, TPM, Dato' Mustapa Mohamad dan segala kroninya sahaja dan tidak peduli apa akan berlaku kepada universiti."

"Bagaimanapun, saya kira Pak Lah sendiri tak akan berpuas hati dengan prestasinya," ujar bekas pensyarah kanan itu lagi. "Tiada idea-idea baru yang dikemukakan. Kepimpinannya juga dipertikai ramai. Pejabatnya sudah menjadi tempat lepak dua tiga orang kawan-kawan rapat yang kini memegang jawatan tinggi di UKM. Kalau ini berterusan impian meletakkan UKM sebagai universiti penyelidikan akan musnah begitu saja."

Harakah edisi cetak akan membuat pendedahan lebih menggemparkan tentang satu lagi isu yang hangat diperkatakan sekarang, iaitu pelantikan Prof Dr Tan Hock Lim, rakyat Malaysia, dari Universiti Adelaide, Australia, bagi menubuhkan Anvanced Surgical Skills Center di Hospital UKM.

Ini kerana ia membabitkan perbelanjaan hampir RM8 juta hanya untuk gaji Dr Tan!

No comments: