03 October 2007

Elaun guru pendidikan khas naik

Utusan Online

PUTRAJAYA 2 Okt. – Seramai 5,600 guru pendidikan khas di seluruh negara akan menikmati kenaikan kadar elaun bulanan dari RM100 kepada RM250 sebulan mulai tahun depan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lebih RM10 juta setahun diperuntukkan bagi peningkatan kadar elaun sebagaimana yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2008 bulan lalu.

‘‘Langkah tersebut adalah gambaran kepada komitmen dan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan guru pendidikan khas di negara ini.

‘‘Sehubungan itu, saya berharap guru pendidikan khas akan lebih bersemangat dan proaktif dalam membantu membangunkan potensi murid istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, peningkatan kadar elaun itu adalah wajar memandangkan beberapa senario yang berlaku dalam bidang pendidikan khas ketika ini dan pelbagai tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh guru pendidikan khas.

‘‘Ini termasuk guru perlu menyertai kursus kepakaran tertentu yang tidak dikuasai oleh guru biasa, peluasan program pendidikan khas yang menuntut komitmen yang lebih daripada guru dan peluasan kategori kecacatan murid daripada satu kecacatan kepada pelbagai kecacatan.

‘‘Beban tugas guru bertambah. Selain mengajar, mereka juga terlibat dalam sesi kaunseling, terapi, modifikasi tingkah laku dan menjalankan ‘lawatan ke rumah’ bagi kes tertentu,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, Kementerian Pelajaran hari ini menubuhkan tujuh buah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) bernilai RM1 juta dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan khas di negara ini.

Katanya, tujuh pusat tersebut terletak di Putrajaya, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka.

‘‘3PK yang berbentuk pusat sehenti itu sememangnya merupakan antara pendekatan terbaik kerana kita menyedari usaha untuk membangunkan potensi kanak-kanak berkeperluan khas harus bermula seawal usia kelahirannya,” kata Hishammuddin.

No comments: