03 October 2007

Orang juling berhak ikuti kursus pendidik

Berita Harian

SELEPAS membaca surat bertajuk 'Si Juling dihalang ikuti kursus guru' yang disiarkan di dalam ruangan ini baru-baru ini, saya kesal kerana insan cemerlang seperti 'Si Juling Kecewa' itu diberikan layanan diskriminasi.

Ini adalah ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Patutkah hanya kerana matanya juling, maka hak beliau dinafikan. Kecacatannya bukan kecacatan besar yang boleh menggagalkan fungsi seorang pendidik.

Malah, kecacatan bermata juling ini tidak harus dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU). Hakikat ini wajar dinilai pihak terbabit. Hingga kini saya tidak nampak apa relevannya alasan kononnya orang bermata juling tidak layak menduduki Ujian Kelayakan Malaysia Educators Selection Inventory (MEdSI). Ini adalah penafian hak yang amat tragis.

Walaupun mungkin ada pihak yang mendakwa kredibilitinya sebagai guru bakal terjejas kerana bermata juling, alasan itu terlalu dangkal. Jika ini alasan yang paling munasabah, maka pihak kementerian wajar memberhentikan guru yang berkepala botak, pendek, perut boroi dan gigi jongang.

Bukankah kelompok ini juga ada ciri-ciri yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka sebagai guru. Malah, segelintir guru yang gagal berbahasa Melayu dan Inggeris dengan baik juga wajar diberhentikan.

Jika inilah alasan yang diketengahkan, bukan saja ia menjatuhkan maruah 'Si Juling Kecewa' malah keseluruhan institusi perguruan. Bukan niat saya untuk menghentam kementerian atau individu terbabit.

Namun, saya percaya tindakan segelintir pihak ini bakal menjejaskan keseluruhan reputasi institusi terbabit malah seluruh negara umumnya, seolah-olah rakyat yang ada sedikit kecacatan tidak boleh berkerja di bumi tercinta ini.

INSAN PRIHATIN,
Kota Kemuning, Selangor.

No comments: