Ada DPP malas – Peguam Negara
Utusan Online
Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
PUTRAJAYA 2 Okt. – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mendedahkan terdapat segelintir peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) yang malas dan cuai semasa meneliti kertas siasatan kes-kes yang hendak dibawa ke mahkamah.
Menurutnya, kelemahan seumpama itu boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap institusi pendakwa raya yang seharusnya memberi keadilan kepada orang ramai.
“Memang ada segelintir pendakwa raya dan peguam agak senior yang tidak efisien dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.
“Mereka masih tidak peka dengan kertas siasatan dan membuat kesilapan mudah yang tidak harus berlaku,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Gani berkata demikian ketika diminta mengulas kes Timbalan Pendakwa Raya Siti Badariah Mohd. Yusof yang terlewat hadir dalam sebutan kes mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak baru-baru ini.
Kelewatan itu menyebabkan Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee membuat keputusan ketiga-tiga tertuduh dalam kes itu yang didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,049 gram dilepaskan tanpa dibebaskan.
Sambil menyatakan kekecewaannya, Abdul Gani menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ ke atas mana-mana pegawainya yang didapati melakukan kesilapan seumpama itu.
“Saya memang menjaga setiap gerak-geri pegawai pendakwa dan akan bersama mereka untuk mengenal pasti punca masalah itu berlaku,” ujarnya.
Abdul Gani menjelaskan, kesilapan yang kerap berlaku sekarang dikatakan berpunca daripada kurangnya semangat dan rasa bangga mereka yang menjawat profesion Timbalan Pendakwa Raya.
“Fikiran mereka mungkin lebih menjurus kepada soal gaji dan tidak pada tanggungjawab yang seharusnya diselesaikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment