Sistem gred untuk PBT
Utusan Online
Oleh ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 2 Okt. – Kerajaan akan melaksanakan sistem penggredan ke atas semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menilai tahap prestasi dan kecekapan agensi itu mulai suku kedua tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui sistem berkenaan semua majlis bandar raya dan majlis daerah akan dinilai prestasi sebelum diberi taraf daripada satu hingga lima bintang.
“Sistem ini akan dinilai secara objektif dan diharap melalui sistem penggredan ini kita akan dapat satu cara atau kaedah yang mana sistem penanda aras prestasi dapat diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-59 di sini, hari ini.
Menurut Najib, kriteria penggredan dibuat dengan mengambil kira urus tadbir dan kepimpinan (20 peratus), pengurusan kewangan dan hasil (10 peratus), pelaksanaan undang-undang, dasar-dasar kerajaan, peraturan dan garis panduan (25 peratus), penglibatan komuniti dan masyarakat (10 peratus), perkhidmatan pelanggan (10 peratus) dan program teknologi maklumat dan komunikasi (5 peratus).
Katanya, PBT yang memperoleh 90-100 markah akan dikategorikan sebagai lima bintang, 75-89 (empat), 60-74 (tiga), 46-59 (dua ) dan 45 ke bawah satu bintang.
Beliau berkata, sistem berkenaan akan dinilai oleh satu panel berwibawa yang ditentukan oleh kementerian selain anggota profesional bebas.
Menurut Najib, mana-mana PBT yang menunjukkan prestasi rendah akan diberi perhatian oleh pihak berkuasa di peringkat negeri dan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membaiki prestasi PBT terlibat.
“Penggredan akan dibuat setiap dua tahun dan kalau prestasi tidak mencapai tahap, PBT terlibat kena lakukan usaha penambahbaikan dan kita akan hantar pasukan pakar untuk kaji kelemahan pentadbiran majlis berkenaan,” katanya lagi.
Ditanya adakah sistem ini diperkenalkan disebabkan kelemahan yang berlaku dalam PBT, Najib berkata, ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik kecekapan PBT kerana ia merupakan pihak ketiga dalam sistem pentadbiran negara.
Menurutnya, mesyuarat yang sama turut mencapai beberapa keputusan lain antaranya, memperluaskan penggunaan lesen komposit bagi membolehkan perniagaan yang baru dimulakan dipercepatkan.
“Jangka masa dua bulan diberikan kepada pemohon untuk mematuhi syarat-syarat penyiapan premis bagi jenis perniagaan tidak berisiko.
“Bagaimanapun jika berlaku apa-apa aktiviti haram atau tidak sah dari segi undang-undang maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menambah tempoh sah laku lesen perniagaan akan dipanjangkan sehingga tiga tahun.
No comments:
Post a Comment