03 August 2007

Sektor awam perkenal VSS

Berita Harian


SPA diminta kaji skim bagi lepaskan kakitangan kerajaan bermasalah, tak berdisiplin

KUALA TERENGGANU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar), semalam membayangkan kerajaan mungkin memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.

Beliau meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengkaji kemungkinan menggunakan skim yang diamalkan sektor swasta itu supaya kakitangan yang gagal menunjukkan prestasi sepatutnya, meninggalkan perkhidmatan awam.

“Kita perlu wujudkan ‘exit policy” yang jelas kepada anggota bermasalah, tidak berdisiplin mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan sepatutnya. Mungkin boleh diwujudkan VSS seperti diamalkan sektor swasta,” katanya ketika menutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pelajaran dan Negeri ke-10 di sini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong, turut hadir pada persidangan yang bertemakan ‘Modal Insan Asas Kecemerlangan Perkhidmatan Awam’ itu.


Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sejak 2002 hingga tahun lalu lebih 10,438 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002).

Daripada jumlah itu, 2,918 kakitangan dibuang kerja, 1,699 dilucutkan hak emolumen, 1,490 didenda, 813 ditangguhkan pergerakan gaji, 364 diturunkan gaji, 143 diturunkan pangkat, manakala selebihnya diberikan amaran dan surat tunjuk sebab.

Kumpulan pegawai sokongan paling ramai dikenakan tindakan, iaitu 9,649 orang atau 92 peratus. Dalam tempoh yang sama, 7,390 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 4,819 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dikenakan tindakan tatatertib.

Mohd Sidek bagaimanapun mengingatkan sebarang tindakan yang diambil mesti telus dan adil untuk mengelak penganiayaan.

Beliau turut menyarankan SPA belajar daripada syarikat swasta terkemuka berhubung pengambilan pelajar cemerlang untuk berkhidmat dalam organisasi masing-masing.

“Cara sektor swasta mengenal pasti pelajar cemerlang sekurang-kurangnya pada tahun akhir pengajian, mungkin boleh dilakukan dalam pengambilan kakitangan perkhidmatan awam.

“Tidak ramai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang baru dilantik dalam perkhidmatan awam mempunyai ijazah kepujian kelas pertama atau graduan dari universiti terkemuka baik dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Sambil mengakui pekerja terbaik tidak semestinya yang mendapat ijazah kelas pertama atau graduan Harvard dan Oxford, Mohd Sidek bagaimanapun berkata, SPA perlu menjalankan sedikit kajian mengapa pelajar cemerlang tidak berminat atau mungkin tidak berpeluang memasuki perkhidmatan awam.

“Proses pemilihan dan pelantikan ke dalam perkhidmatan awam perlu sentiasa dinilai dan ditambah baik supaya selaras dengan perkembangan semasa,” katanya.

Mohd Sidek berkata, proses pengambilan dan pelantikan juga tidak semestinya berlaku pada “entry point” dalam Gred 41 saja. Sudah tiba masanya SPA menimbang kemasukan di pelbagai peringkat seperti Gred 44, 48 dan seterusnya, dengan mengambil kira kelayakan dan pengalaman calon.

“Langkah itu bertujuan membolehkan dan menggalakkan mereka yang cemerlang di sektor swasta atau badan bukan kerajaan untuk menabur jasa dalam perkhidmatan awam.

“Perkhidmatan awam perlu dibarisi anggota dan pegawai yang benar-benar berketrampilan, profesional serta berwibawa kerana kualiti modal insan menjadi penentu kejayaan negara,” katanya.

No comments: