03 August 2007

Cuepacs bantah SPA perkenal VSS

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs membantah cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memperkenalkan skim pemisahan sukarela (VSS) bagi `melepaskan’ kakitangan awam bermasalah, tidak berdisiplin dan gagal menunjukkan prestasi perkhidmatan sepatutnya.

Presidennya, Omar Osman, berkata peraturan sedia ada mencukupi bagi mengambil tindakan terhadap kakitangan.

“Memang ini skim sukarela tetapi kita bimbang kemudian nanti ada unsur paksaan sukarela apabila pihak atasan memanggil pekerja dan meminta mereka mengambil VSS.

“Jika kakitangan itu tertekan dan mengambil VSS, itu bukan lagi sukarela tetapi dibuat kerana arahan. Sekarang pun `paksaan sukarela’ ini sudah berlaku, jadi cadangan ini tidak wajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam yang mahu SPA mengkaji kemungkinan melaksanakan VSS bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam bermasalah.

No comments: