JPJ terima seguni perut babi
Utusan Online
JOHOR BAHRU 29 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor yang melancarkan Operasi Tutup (Ops Tutup) mulai 23 Julai lalu, berdepan pelbagai ancaman dan ugutan termasuk dihantar dengan bungkusan berisi perut babi.
Pengarahnya, Rosli Ramly memberitahu, dalam kejadian pada Khamis lalu, satu guni yang berisi perut babi ditinggalkan di bawah meja yang disifatkan sebagai amaran daripada pihak tertentu supaya tidak meneruskan operasi itu.
Selain itu, katanya, pihaknya juga menerima ancaman dalam bentuk lain termasuk apabila alas meja digunakan di lokasi operasi itu dibakar manakala khemah yang didirikan telah dirosakkan.
Tambah beliau, JPJ Johor menerima paling banyak ugutan berbanding operasi serupa di negeri-negeri lain umpamanya di Pulau Pinang, Perak dan Pahang.
“Setakat ini, kita terima empat kes ugutan di lokasi Ops Tutup di Simpang Renggam, Tanjung Labuh, Muar dan Pekan Nenas dan kejadian ini (dihantar seguni perut babi dan alas meja dibakar) berlaku di lokasi bukan 24 jam.
“Segala ancaman dan ugutan ini petanda Ops Tutup berkesan menghalang pengguna jalan raya daripada melakukan kesalahan dan pada masa sama pegawai dan anggota JPJ yang terbabit tidak gentar atau tunduk dengan sebarang ancaman demi menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Rosli, sejak Ops Tutup dilancarkan, pihaknya mengeluarkan 2,061 saman dengan 75 peratus iaitu 1,539 daripadanya melibatkan kenderaan pengangkutan.
Katanya, 683 saman dikeluarkan ke atas kenderaan pengangkutan yang membawa lebihan muatan yang dibenarkan.
“Fokus kita ialah kepada kenderaan pengangkutan membawa lebih muatan kerana itu berbahaya pengguna lain dan boleh menyebabkan kemalangan,” ujarnya.
Rosli menambah, kesalahan lain oleh pemandu kenderaan pengangkutan termasuk memandu tanpa lesen, tidak mempunyai permit dan insurans.
Beliau memberitahu, sepanjang operasi itu juga, JPJ mencatatkan 14 kes kesalahan pemandu yang memiliki lesen memandu palsu.
Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau setahun penjara.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut berjaya menyita 25 kenderaan melanggar pelbagai peraturan dan syarat.
Beliau juga berkata, jumlah itu dijangka meningkat menjelang berakhirnya Ops Tutup pada minggu pertama bulan depan.
Ops Tutup diadakan secara bersepadu melibatkan 170 pegawai dan anggota JPJ di 14 lokasi seluruh Johor. Ia bermula pada 23 Julai lalu dengan sekatan jalan raya 24 jam di beberapa lokasi seperti di Skudai, Mersing, Muar, Batu Pahat dan Tanjung Puteri manakala beberapa lokasi lain turut dipantau JPJ.
No comments:
Post a Comment